Curang, bukan suatu kebetulan - Utusan Malaysia

Curang, bukan suatu kebetulan

KUASA yang ada pada lelaki menjadikan mereka lebih berani berlaku curang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segelintir lelaki memang bermata keranjang. Sudah berpunya tetapi masih mencari peluang untuk bercinta dengan wanita lain. Kadang kala pasangan dimiliki cukup sempurna dan tidak ada cacat celanya. Dunia moden yang lengkap dengan kecanggihan teknologi turut mendorong kecurangan berlaku menerusi telefon pintar termasuk aplikasi dalam telefon.

Namun dek kerana nafsu, pelbagai alasan dicari dalam menagih cinta baharu.

Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling di Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Yusni Mohamad Yusop berkata, curang adalah ketidakjujuran terhadap pasangan hingga melanggar kesetiaan terhadap pasangan.

LELAKI MENDOMINASI CURANG
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2017 mendedahkan antara punca penceraian pasangan yang berkahwin adalah faktor kecurangan. Suami yang mempunyai kuasa sebagai ketua keluarga menggunakan kedudukan itu untuk menguasai pasangannya. Malah kelebihan suami yang boleh berkahwin lebih daripada satu, turut membuka peluang kepada mereka mencari cinta lain.

JANGAN MELULU
Ujar Yusni, sekiranya menyedari bahawa suami telah berlaku curang, isteri perlu matang mendapatkan maklumat sahih dan bukti yang betul. Bukannya membuat tuduhan melulu. Suami perlu diberi peluang membuat penjelasan dalam keadaan tenang dan harmoni. Sekiranya tiada jalan keluar, suami isteri perlu capai persetujuan menghadiri sesi kaunseling atau khidmat nasihat di pejabat agama.

PELUANG KEDUA
Adakalanya kecurangan kali pertama yang berlaku terhadap pasangan, boleh membawa hikmah dalam memperbaiki kelemahan perhubungan.

Kenalpasti dan selesaikan masalah, boleh mengukuhkan lagi hubungan selain memantapkan kualiti kebahagiaan keluarga.

Namun sekiranya perbuatan curang itu berulang kali dilakukan hingga melibatkan perzinaan, terpulanglah kepada kekuatan si isteri untuk mempertimbangkan keputusan.

Tambah Yusni, perkahwinan yang bahagia apabila suami isteri saling mempercayai, saling memahami dan belajar untuk memenuhi keperluan pasangan masing-masing dengan penuh kejujuran.
Ketenangan dalam hubungan itulah kualiti hidup berpasangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN