Sakit mental bukan dibuat-buat - Utusan Malaysia

Sakit mental bukan dibuat-buat

Cabaran kesihatan mental semakin meningkat namun ramai yang masih menganggap ia isu tidak patut dibicarakan dan disuarakan secara terbuka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon Diana Danielle tidak dapat menahan rasa sedihnya lagi apabila berhadapan dengan gangguan kebimbangan melampau iaitu anxiety attack.

Menerusi sebuah video di Instagram baru-baru pelakon jelita ini menangis teresak-esak sambil berkongsi keperitan yang dirasai. Sukar bernafas meskipun sudah mencuba pelbagai rawatan antara situasi membelenggu dirinya waktu itu.

Simptom penyakit itu katanya, muncul satu-persatu. Ia bermula dengan rasa macam tapak tangannya berpeluh diikuti dengan sukar tidur malam.

Hingga ke peringkat akhir dirinya berasa kurang rehat, kerap rasa berdebar dan hilang selera makan.

“Pada awalnya, saya sangka dapat melawan gangguan itu. Namun keadaan jadi makin teruk. Hinggakan pada satu tahap, saya tak kisah bagaimana rupa rambut, muka atau baju saya,” luah Diana.

Beliau berkata demikian dalam kempen kesihatan dan kesejahteraan mental anjuran Facebook Malaysia dan Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Awareness Againsts Suicide (AWAS) Malaysia serta BefriendersKL baru-baru ini.

Turut serta Pengarah Facebook Malaysia, Nicole Tan, Presiden MIASA, Anita Abu Bakar, Pengasas AWAS, Alia Ali dan Timbalan Pengerusi BefriendersKL, Victor Tan.

Isteri pelakon Farid Kamil ini berkata, ramai yang mengalami masalah ini tidak mahu mengakuinya dan selalu menafikan yang mereka sedang mengalami gangguan kebimbangan yang teruk.

Justeru, kata Diana, pesakit perlu buang rasa malu. Sebaliknya meluahkan kepada keluarga atau rakan rapat. Dalam pada itu, keluarga juga perlu beri sokongan kepada pesakit.

Diana Danielle bercakap dalam kempen kesihatan dan kesejahteraan mental anjuran Facebook Malaysia dan Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), Awareness Againsts Suicide (AWAS) Malaysia serta BefriendersKL baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, gangguan kembimbangan yang dialaminya membuktikan kesihatan mental adalah keadaan yang tidak boleh diabaikan kerana statistik lelaki dan wanita yang mengalaminya kian meningkat.

“Ada ahli keluarga yang tidak percaya dengan apa yang kita katakan. Mereka tidak boleh terima hakikat kita sakit mental, sebaliknya hanya mahu kita bersabar. Sedangkan sabar sampai bila?,” katanya melontar persoalan.

Dalam usaha menangani hal itu, kata Diana, pesakit tidak boleh malu mengutarakan masalah yang dihadapi. Sebaliknya mereka perlu mencari kaunselor, keluarga atau rakan yang boleh dipercayai.

“Bagi saya, saya ingin menormakan mendapatkan bantuan perubatan yang sewajarnya bagi menjaga kesihatan mental seseorang tanpa berasa malu dengan stigma sosial yang negatif,” katanya dalam reaksinya terligat dalam kempen berkenaan.

KESEDARAN MASYARAKAT

Banyak perubahan yang perlu dilakukan bagi mewujudkan persepsi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental supaya tidak berasa bersendirian dan terasing.

Kata Anita, masyarakat terlebih dahulu perlu sedar bahawa meminta bantuan tidak menjadikan diri mereka lemah sebaliknya ia membuktikan kesediaan mereka untuk mendapatkan rawatan di saluran yang betul.

“Membantu diri sendiri harus dilihat sebagai perkara yang positif dan juga boleh mempengaruhi orang lain untuk tampil ke hadapan seterusnya mendapatkan bantuan segera,” katanya.

ANITA ABU BAKAR

Pun begitu, kebimbangan untuk mendapatkan bantuan selain salah anggap masyarakat terhadap penyakit kesihatan mental menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan awal selain ketiadaan sokongan sosial dalam masyarakat untuk menangani permasalahan ini.

Anita berkata, salah tafsir terhadap kesihatan mental akibat kurangnya pemahaman mengenainya sehingga seseorang lewat mendapatkan rawatan dibimbangi boleh membawa risiko lebih besar kepada pesakit seperti bunuh diri.

“Ini yang cuba kami lakukan bagi mengelak pesakit berasa malu mendapatkan bantuan seterusnya membolehkan mereka mendapat layanan yang sama dan dihargai dalam masyarakat apabila kembali semula kepada kehidupan normal,” katanya.

Orang ramai perlu menggunakan rangkaian bantuan dalam meningkatkan daya tahan emosi seterusnya mengurangkan stigma negatif masyarakat mengenai masalah mental ini. – GAMBAR HIASAN

CABARAN KIAN MENINGKAT

Cabaran kesihatan mental semakin meningkat namun ramai yang masih menganggap ia sebagai isu tidak patut dibicarakan dan disuarakan secara terbuka.

Anita berkata, tindakan sedemikian hanya memburukkan keadaan.

Dalam pada itu, dengan matlamat terus menyokong organisasi kesihatan mental di negara ini, MIASA dan AWAS Malaysia akan menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama di negara ini yang bekerjasama dengan WhatsApp untuk melancarkan WhatsApp Chatbot.

PANDEMIK TINGKAT ANGKA KES

Sementara itu, Nicole Tan berkata, pihaknya membantu memudahkan akses kepada sumber kesihatan mental dan menghubungkan mereka dengan rakan kerjasama pakar seperti MIASA, AWAS Malaysia dan BefriendersKL untuk mendapatkan bantuan.

Menerusi kempen seperti itu katanya, pihaknya ingin meluaskan lagi akses kepada bantuan kesihatan dan kesejahteraan mental, melalui platform di Facebook, Instagram dan WhatsApp, pada bila-bila masa.

“Kami berharap menerusi komuniti ini di media sosial, orang ramai akan dapat menggunakan rangkaian bantuan yang diperlukan selain meningkatkan daya tahan emosi seterusnya mengurangkan stigma negatif masyarakat mengenai masalah mental ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×