fbpx

Suami juga boleh kena meroyan

Antara simptom perlu diawasi ialah ibu mungkin berdepan kesedihan yang tidak menentu dan terlampau.

MEROYAN atau kemurungan dalam kalangan wanita lepas bersalin bukan isu baharu. Malah jenayah membabitkan ibu terhadap bayinya sendiri turut menjadi paparan media.

Kenapa ada wanita mengalami meroyan atau postpartum depression (PPD), manakala ada ibu mampu melalui tempoh berpantang dengan bahagia?

Seri bertanya kepada Pensyarah Kanan Program Kaunseling Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Rezki Perdani Sawai.

SERI: Bilakah PPD berlaku?

Dr. Rezki: Kehamilan dan melahirkan anak adalah dua peristiwa besar dalam kehidupan wanita, sekaligus mendorong perubahan dalam peranan dan tanggungjawab. Ia boleh berlaku dalam tempoh empat hingga enam minggu lepas bersalin.

Apakah simptom PPD?
Suami dan ahli keluarga perlu memperhatikan sekiranya terdapat perubahan tingkah laku negatif terhadap ibu yang baru bersalin antaranya ingin mencederakan diri dan bayi.
Simptom lain perlu diawasi ialah ibu mungkin terlalu bersedih dan kecewa tidak menentu. Ibu juga mungkin mengalami kesukaran menjaga bayinya. Bila bayi menangis, si ibu menjauhkan diri.

Peranan suami dan keluarga menangani PPD?
Sokongan sosial merupakan faktor pelindung terhadap kemurungan selepas bersalin.
Keluarga juga harus memberikan sokongan seperti membantu dalam tugasan rumah dan penjagaan bayi.
Sokongan emosi perlu agar pasangan tahu bahawa dia tidak bersendirian.

PPD boleh berlaku pada seorang suami?
Ya. PPD boleh berlaku kepada golongan bapa. Suami mungkin berasa penat, sedih, gelisah atau mempunyai perubahan dalam corak makan dan tidur. Lelaki dengan sejarah kemurungan, masalah hubungan dengan pasangan atau kewangan, lebih berisiko meroyan yang dipanggil kemurungan postpartum bapa.
Sekiranya ada tanda, anda disaran berjumpa pakar kesihatan. Rawatan dan sokongan akan diberikan agar hubungan suami isteri dan perkembangan anak-anak tidak terjejas.

Impak PPD tidak dirawat:
Kajian menunjukkan kemurungan yang tidak dirawat membuka risiko :

*Kognitif – kanak-kanak sukar memberikan tumpuan dan lemah dalam pembelajaran.

*Emosi – terlalu mudah menangis.

*Tingkah laku – ganas, seperti mudah mencampakkan mainan atau barang ketika marah.

*Psikiatri – menghidapi tekanan jiwa dan kemurungan pada usia muda.

*Sosial – hubungan sosial dengan rakan dan keluarga terjejas kerana lebih banyak mendiamkan diri.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!