“Sebulan sahaja saya cipta Aura” - Hazman Al-Idrus - Utusan Malaysia

“Sebulan sahaja saya cipta Aura” – Hazman Al-Idrus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Hazman Al-Idrus tampil dengan single terbaharu berjudul Aura selepas enam tahun sepi dari radar muzik.

Menurutnya, Aura merupakan hasil sentuhan ciptaan sepenuh olehnya dalam tempoh sebulan sahaja dan menyifatkan perkara itu sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.

“Banyak perkara baru yang saya belajar tentang pembikinan muzik, mulai dari menulis lirik lagu, mencipta melodi, masuk ke studio untuk rakaman, penyusunan muzik dan vokal sehinggalah proses penerbitan lagu ini.

“Bukan mudah, namun ia adalah proses pembelajaran bagi saya supaya lebih mahir dimasa akan datang.

“Alhamdulillah, saya amat berterima kasih dan bersyukur sebab mempunyai pasukan yang faham dengan apa yang saya cuba sampaikan dan mereka cuba merealisasikan karya ini dengan bersungguh-sungguh,” ujarnya yang memilih Mattao sebagai Music Arranger and Programmer.

Pun begitu dalam kegembiraannya terselit duka yang masih membekas di hati.

“Saya juga amat sedih dengan permergian pemain bass untuk lagu Aura ini iaitu Bob Effendy yang telah meninggal dunia sebelum beliau dapat mendengarkan lagu ini dilancarkan secara rasmi,” tambahnya.

Bercerita tentang ‘cahaya mata’ sulungnya ini, ada kisah di sebalik ilham dan inspirasi Aura.

Jelas Hazman yang bernaung di bawah label dan pengurusan miliknya iaitu Hai Production, dia mendapat ilham lagu Aura ini tepat jam 12 tengah malam di tepi sungai rumah datuk saudara di Janda Baik.

“Aura di sana pun lain macam, jadi setelah mendapat ilham mencipta melodi serta lirik itu saya pun terus simpan gitar dan dengan rasa bersemangat, sebab itu saya dapat idea untuk namakan lagu ini dengan judul Aura,” katanya yang berharap kemunculan sema diterima baik semua.

Sebagai informasi, Hazman Al-idrus pernah mewakili Malaysia untuk rancangan realiti nyanyian D’Academy Asia musim pertama di Indonesia pada tahun 2015.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan beliau yang terbaharu iaitu Kisah Cinta Kita terbitan A.Aida Production bakal ditayangkan di Slot Akasia TV3 pada pertengahan November ini.

Lagu Aura kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengari di semua platform digital seperti Joox, Spotify, Apple Music, Youtube Music, KKBox, Deezer dan lain-lain lagi. Muzik video lirik rasmi juga boleh ditonton di saluran Youtube Hazman Al-idrus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN