KUALA LUMPUR: Pelakon, Farah Ahmad berharap dengan perkongsian tata tertib dalam bekerja dapat memudahkan urusan semua pihak terutama pelakon yang dihubungi.
Menurut pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu, dia terpaksa berkongsi perkara berkenaan kerana melihat rata-rata pihak yang menghubungi pelakon tidak beretika.
“Kalau betul niat membangunkan seni, kita mulakan dari tertib. Kalau sudi mengubah sudilah bersama kongsi agar kita semua hormat kerja seni kita.
“Memandangkan cerita ini tiada pengakhiran, aku buatkan template standard untuk siapa yang dipertanggungjawabkan. Dari anda telefon atau atau teks Assalamualaikum senang pada sekian tarikh tanpa memberi informasi lanjut selagi kita tidak bertanya.
“Jom kita kongsi template standard yang beretika ketika berurusan mengenai kerja. Mudah saja tapi ada penerima mesej akan nampak nilai pada anda. Perlahan-lahan kita ubah dan latih suasana kerja yang lebih profesional ya,” ujarnya di Instagram diiringi skrip sebagai rujukan.
Tegasnya, perkara tersebut bertujuan untuk memudahkan kerja semua pihak dan tidak perlulah nanti menelefon berulang kali kemudian “pusing bulatan”.
“Semua sekarang kan sudah ada lebuhraya. Tawar menawar selepas itu diam.
“Kalau tidak jadi tidak berdosa pun teks beritahu tiada rezeki untuk kali ini bekerjasama. Insya-Allah akan datang. Bukankah molek malaikat tengok.
“Semoga urusan seni kita dipermudahkan dirahmati dan diberkati Allah swt. Amin
Ingat seni mengajar kita menjadi orang, bukan orang-orang,” ungkapnya.
Menjengah pada ruangan komen perkongsian berkenaan, majoriti rakan-rakan selebriti memuji tindakan proaktif Farah kerana bagi mereka akhirnya ada yang bersuara.