KUALA LUMPUR: Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pahang menerima peruntukan RM15,000 setiap minggu bagi diagihkan kepada golongan memerlukan susulan krisis bekalan tenaga dan bahan api ekoran konflik di Asia Barat.
Inisiatif itu dilaksanakan kerajaan negeri bagi membolehkan wakil rakyat menyalurkan bantuan barangan keperluan asas kepada seramai 300 rakyat di kawasan masing-masing sekali gus meringankan beban kos sara hidup yang dijangka meningkat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan mingguan tersebut digunakan untuk pembelian barangan asas bagi diagihkan kepada golongan paling terkesan.
Menurutnya, bantuan akan disalurkan bermula minggu ini dengan keutamaan diberikan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan individu yang paling memerlukan.
“Setiap ADUN diberikan RM15,000 setiap minggu bagi membeli barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada kira-kira 300 rakyat di kawasan masing-masing, khususnya golongan susah.
“Jadi mereka boleh beli barangan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan keperluan harian lain. Pemberian ini akan diteruskan setiap minggu sehingga keadaan kembali stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pendekatan tersebut merupakan langkah segera kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara selain mengurangkan kesan kenaikan kos akibat ketidaktentuan bekalan tenaga global.
Tambahnya, kerajaan negeri juga melaksanakan pendekatan bekerja dari rumah bagi sektor tertentu sebagai langkah penjimatan penggunaan bahan api serta mengurangkan tekanan terhadap bekalan semasa. – UTUSAN










