Tentang Siang, Malam dan Romantis hadir tepat pada waktu - Utusan Malaysia

Tentang Siang, Malam dan Romantis hadir tepat pada waktu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU ialah teman. Saya selalu percaya perkara itu. Lagu menjadi peneman saya belajar suatu ketika dahulu. Lagu juga membacakan kisahnya sebelum saya tidur dan lagu membisikkan motivasi waktu jiwa saya keletihan.

Kala pandemik ini, bagi orang macam saya, lagu selalu meminjamkan kehangatannya sewaktu saya dingin dalam tekanan dan kesunyian. Lagu memeluk jiwa dan mendamai hati.

Ketika Tentang Siang, Malam dan Romantis
muncul di Youtube, saya bertemu teman baharu. Lagu itu diulang berkali-kali kerana syahdunya bercandu.

Bahagian dua trilogi cinta
Tentang Siang, Malam dan Romantis ialah karya kedua dalam kisah cinta tiga sudut oleh Aziem Rashidi. Sebelum ini beliau tampil dengan Jika Ini Yang Terbaik yang memadukan suara Heidi Moru dan Hasha Roslan. Lagu sendu itu berkisar perpisahan yang merupakan penutup trilogi. Tentang Siang, Malam dan Romantis pula bahagian kedua yang mengisahkan detik manis antara Ily dan Ilhan, dua watak utama dalam trilogi ini.

Tentang Siang, Malam dan Romantis menampilkan pasangan duet baharu, iaitu Ainina Hasnul dan Teman Lelaki.

Liriknya terbuka kepada banyak tafsiran. Aziem sendiri menyerahkan kepada pendengar untuk mentafsir lagu ini mengikut pengalaman mereka sendiri. Jadi tidak salah juga jika saya mahu rekodkan tafsiran saya dalam artikel ini.

Dialog cinta

Saya sangat tertarik dengan dua baris lirik dari lagu Mari Bercerita nyanyian Payung Teduh dan Ichamalia. Katanya, “sungguh bicara denganmu tentang segala hal yang bukan tentang kita, selalu bisa membuat semua lebih bersahaja”.

Saya berfikir tentang tingkat hubungan dalam lirik ini. Ia memberi cadangan bahawa pasangan sudah mencapai tingkat hubungan yang selesa dan sangat intim apabila mampu berdialog tentang apa sahaja hal dalam dunia ini, bukan sekadar tentang cinta antara mereka. Saya setuju dengan cadangan itu.

Itu hal yang saya jumpa dalam Tentang Siang, Malam dan Romantis. Ia dialog cinta sepasang kekasih yang mentafsir alam bersama. Mereka berbual tentang siang, malam, fikir, langit dan hujan.

Lagu ini bagi saya tentang keintiman hubungan yang bagi sesetengah orang merupakan eskapisme terbaik ketika berhadapan hari yang panjang dan lelah. Perbualan melalui mesej di telefon seperti yang ditunjukkan dalam video muzik lagu ini sangat bermakna bagi pasangan yang dilamun cinta. Dipasang pula dengan situasi pandemik, tafsiran ini menjadi lebih signifikan.

Cabaran keserasian

Saya sangat menghargai produk muzik yang diterbitkan semasa pandemik. Walaupun kemajuan teknologi banyak membantu, proses menyiapkan sesuatu produk walaupun hanya sebuah lagu lebih sukar ketika ini. Tambahan pula, melibatkan lagu duet seperti ini.

Tanpa pandemik, pasangan duet boleh bertemu dan membina keserasian. Namun, dalam keadaan semua dikurung ketakutan terhadap Covid-19, Ainina dan Teman Lelaki hanya mampu berhubung melalui Whatsapp.

Seperti yang diceritakan dalam rancangan Borak Rondivu minggu lalu, Ainina dan Teman Lelaki hanya pernah bertemu dua kali. Pertama semasa Anugerah Lagu Indie 2020 – hanya sempat bertegur sapa – dan kali kedua semasa merakam lagu ini. Tempoh rakaman pun tidak lama, sekitar dua ke tiga jam.

Sebab itu, saya kagum dengan keserasian suara dan penghayatan mereka dalam lagu ini. Kedengaran seperti mereka sudah lama bergandingan bersama. Kemerduan yang terjalin rapi.

Luaskan sempadan telinga

Aziem mengakui, dia risau ketika lagu ini dilancarkan. Ini kerana, baginya, mungkin muzik yang ditampilkan agak janggal bagi telinga pendengar Malaysia.

Bagi saya, muziknya tidak janggal. Cuma mungkin pendengar Malaysia tidak jangka muzik sebegini boleh dihasilkan anak tempatan. Muzik pop Indonesia yang menampilkan bunyi hampir sama boleh sahaja diterima ramai di Malaysia. Namun, pendengar secara massa masih menjangkakan bunyi tipikal dalam pasaran pop Malaysia. Belum dikira pendengar-pendengar yang walaupun muda, masih terperangkap dalam nostalgia muzik lama.

Ini masanya untuk meluaskan sempadan telinga pendengar muzik Malaysia. Lagu ini tidak terlalu janggal, tidaklah seberat muzik metal atau post-rock. Liriknya mudah ditafsir dan muziknya senang dilayan.

Beri peluang kepada komposer baharu seperti Aziem dan penyanyi baharu seperti Ainina dan Teman Lelaki. Kita mula hargai kepelbagaian karya yang ada dalam pasaran muzik kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya