Dua bulan lepas, Microsoft mengumumkan ketibaan peranti baharunya, Surface Laptop 4 di Malaysia yang dijual pada harga bermula RM4,599.
Saya berkesempatan menggunakankomputer riba itu selama lebih kurang seminggu dan ada beberapa ciri menarik yang boleh dikongsikan bersama pembaca. Nak tahu berbaloi atau tidak untuk beli?
Pandangan pertama saya ketika menerima unit ulasan agak mengujakan. Variasi asas yang saya terima berwarna Platinum kelihatan sangat premium dengan rekaan yang cantik. Sesuai lah dengan harganya yang agak mahal.
Pertama sekali ulasan yang ingin diberikan adalah berkaitan skrin. Skrin yang digunakan bersaiz 13.5 inci dengan panel LCD PixelSense, ia menawarkan nisbah paparan 3:2. Turut disokong pemproses Intel Core Generasi ke-11.
Dari pengalaman penggunaan, ia cukup sesuai untuk digunakan bagi kerja-kerja biasa seperti menulis dan membaca dan sebagainya.
Panel skrin PixelSense jenis LCD, sudah mampu memaparkan warna yang cukup cantik apabila menonton video. Kecerahannya juga boleh dikira agak terang bagi penggunaan dalam bangunan atau rumah.
Bagaimanapun, ada sedikit gangguan mungkin dari sistem auto-cerahnya yang kadangkala berfungsi dengan tidak begitu baik. Kadangkala apabila sedang leka melakukan kerja, paparan menjadi sedikit malap dengan sendirinya dan tiba-tiba cerah semula.
Tetapi, dari segi pad sesentuh tiada masalah. Ia agak sensitif dengan gerakan dan penggunaan juga lancar. Bagi papan kekunci pula, ia agak tipis menjadikannya kelihatan agak elegan.
SELESA MENAIP
Paling penting, ia memberikan keselesaan dan sepanjang menaip secara berterusan, jari saya tidak rasa penat atau lenguh. Ia juga mempunyai kemasan fabrik pada papan kekunci yang menghalang haba panas sekiranya menggunakan komputer riba dalam jangka masa agak lama.
Dari segi prestasi, Microsoft membuktikan komputer ini sesuai untuk persekitaran kerja hibrid.
Ketika menggunakannya untuk menulis artikel sambil membuka lebih kurang tujuh hingga ke lapan tab lain, ia masih lancar.
Penggunaan aplikasi lain untuk pekerjaan seperti Zoom, Google Meet atau menonton filem secara dalam talian, tidak menjadi masalah.
Bagaimanapun, dari segi prestasi bateri tidak seperti yang diwar-warkan. Microsoft mengatakan ia boleh bertahan hampir 19 jam, namun sebenarnya hanya sekitar 11 sehingga 12 jam sahaja dalam sehari.
Namun, pengecasan pantasnya amat memuaskan. Dalam masa satu jam sahaja boleh memenuhkan bateri sehingga 80 peratus.
Secara keseluruhannya, komputer riba ini mencapai matlamatnya untuk menyokong sistem kerja dari rumah ketika musim pandemik ini.
Prestasi yang bagus dan lancar memudahkan kerja-kerja dilakukan secara dalam talian walau dimana sahaja berada.










