Junko Tabei, wanita pertama takluk Gunung Everest - Utusan Malaysia

Junko Tabei, wanita pertama takluk Gunung Everest

JUNKO Tabei menjadi pendaki wanita pertama sampai di puncak Gunung Everest. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Siapa sangka, bermula sekadar hobi, minat seorang wanita dari Jepun terhadap aktiviti pendakian gunung menjadikannya terkenal di seluruh dunia.

Mendiang Junko Tabei, sama sekali tidak menyangka dapat memahat namanya dalam sejarah sebagai pendaki wanita pertama yang berjaya sampai di puncak Gunung Everest pada 16 Mei 1975.

Menariknya, pendaki legenda, ini bukanlah seorang atlet yang begitu tegar dalam sukan, sebaliknya hanya individu biasa yang gemar menyertai aktiviti pendakian.

Malah, ketika Junko menawan puncak tertinggi di dunia itu pada 1975, beliau hanyalah suri rumah dan ibu kepada dua orang cahaya mata.

Junko mula mendaki gunung ketika berumur 10 tahun semasa mengikuti rombongan sekolah.

Oleh kerana, keluarganya tidak mampu menanggung kos perbelanjaan hobinya, Junko hanya sempat mendaki beberapa gunung ketika zaman persekolahannya.

Sejurus selepas menamatkan pengajian tingginya, Junko menyertai sebuah kelab mendaki gunung yang sebahagian besar didominasi lelaki.

DIPANDANG SERONG

Kesungguhan Junko sering dipandang serong oleh ahli kelabnya. Ramai menganggap penyertaannya dalam kelab itu kerana mahu mencari pasangan hidup.

Dalam satu temubual Junko mengakui lelaki Jepun generasinya lebih gemar melihat wanita berada di rumah, menguruskan rumah tangga dan menjadi suri rumah tangga.

MEMECAH TRADISI

Apa yang lebih membanggakan, wanita ini berjaya memecahkan tradisi aktiviti pendakian yang biasanya didominasi oleh lelaki.

Ternyata, Junko sememangnya seorang pendaki hebat dan bersemangat tinggi apabila terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk sampai ke puncak Gunung Everest.

Beliau merupakan antara 15 wanita yang dipilih daripada ratusan calon yang memohon untuk mendaki puncak tertinggi dunia itu.

JUNKO Tabei berada di puncak Everest pada tahun 1975. – LCC

Tidak setakat itu, Junko turut pernah mencatat sejarah dengan menjadi pendaki wanita pertama yang berjaya mendaki Seven Summits iaitu tujuh puncak tertinggi di setiap benua.

Sering wujud pandangan golongan wanita tidak sesuai bergiat dalam aktiviti lasak atas alasan keupayaan fizikal mereka terhad berbanding lelaki.

Malah, ada juga mendakwa tidak mudah untuk menyertai aktiviti lasak yang dipelopori lelaki kerana mentaliti wanita bersifat lemah lembut.

TEPIS STREOTAIP

Namun, Junko berjaya menepis imej streotaip jantina itu dengan membuktikan wanita juga mampu mendaki gunung seperti lelaki meskipun terpaksa berdepan tanggapan negatif pada ketika itu.

Sudah pastinya kejayaan Junko dijadikan aspirasi buat semua wanita yang berkecimpung dalam aktiviti pendakian.

Semoga pencapaian Junko juga menjadi pembakar semangat kepada semua wanita muda untuk mencipta pelbagai kejayaan sepertinya.
Kehidupan awal

Dilahirkan pada 22 September 1939, di pekan Miharu di wilayah Fukushima, Jepun. Anak kelima daripada tujuh adik-beradik mula mendaki pada usia 10 tahun. Pendakian itu dilakukan sewaktu mengikuti rombongan sekolah.

Sejak itu, beliau terus mengembangkan minatnya dalam aktiviti pendakian sehingga ke akhir hayatnya.

PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Menamatkan pengajian dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris di Showa Women’s University.

Beliau menyertai kelab mendaki gunung dan aktif terlibat dalam beberapa ekspedisi menawan puncak tertinggi termasuk Gunung Fiji.

Junko juga pernah berkhidmat dengan Persatuan Fizik Jepun dan menyunting laporan bagi Jurnal Fizik Eropah.

Beliau merealisasikan hasratnya dengan menubuhkan Ladies Climbing Club (LCC) yang pertama seumpamanya di Jepun dengan slogan Let’s go on an overseas expedition by ourselves.

Pada tahun 1970, Junko menyertai misi ekspedisi wanita berkumpulan mendaki puncak Annapurna III di Himalaya yang diketuai oleh Eiko Miyuzaki.

Daripada lapan pendaki wanita, hanya Junko berjaya sampai di puncak Annapurna III yang setinggi 7,555 meter.

Ketika itu, terdapat satu lagi misi dikenali sebagai Ekspedisi Everest Wanita Jepun yang berhasrat mendaki puncak tertinggi dunia.

 

EKSPEDISI EVEREST

Pada 1975, Junko selaku ketua pendaki dan Miyuzaki sebagai penyelaras misi ekspedisi, merancang mendaki Gunung Everest.

Mereka memutuskan mengikut laluan sama digunakan pendaki Sir Edmund Hillary dan Sherpa (pemandu arah) Tenzing Norgay pada 1953.

Beliau cuba memohon bantuan kewangan dari komuniti perniagaan Jepun untuk memulakan ekspedisi tersebut namun ramai memperlekehkan keupayaan kumpulan pendaki wanita itu.

Bagaimanapun, beliau akhirnya berjaya memperoleh dana daripada akhbar Yomiuri Shimbun dan stesen televisyen Nippon. Meskipun berdepan reaksi negatif dan cabaran logistik, ekspedisi itu tetap diteruskan.

Pada 3 Mei 1975, kumpulan pendaki wanita itu terpaksa berpatah balik ke Kem II akibat cuaca buruk dan runtuhan salji.

Junko mengalami kecederaan pada kakinya sekali gus dilihat seolah-olah hilang harapan menamatkan ekspedisi itu ke peringkat terakhir.

Namun, tiga hari kemudian, Junko bangkit dan meneruskan ekspedisi mendaki Everest. Pada 10 Mei, Junko meneruskan ekspedisi itu dengan bantuan Sherpa Ang Tsering. Tanggal 16 Mei 1975, menyaksikan Junko menjadi wanita pertama menawan puncak Gunung Everest.

JUNKO Tabei berdiri di hadapan Gunung Yari di utara Alps Jepun pada tahun 1961. – LCC

PENCAPAIAN LAIN

Pada 1991, Junko sampai ke puncak Vinson, gunung tertinggi di Antartika. Pada 28 Jun 1992, beliau mendaki puncak Jaya di Indonesia sekaligus menjadi wanita pertama menawan Seven Summits’ iaitu tujuh puncak tertinggi di setiap benua.

Junko turut pernah berkhidmat di jabatan ekologi dan berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan degradasi alam sekitar Everest di Universiti Kyushu pada tahun 2000.

Junko dilantik sebagai pengarah Himalayan Adventure Trust of Japan yang bertanggungjawab memelihara persekitaran gunung di peringkat global.

Mendirikan rumah tangga dengan seorang pendaki, Masanobu Tabei pada usia 27 tahun. Mereka berdua berkenalan selepas bertemu dalam satu ekspedisi pendakian ke Gunung Tanigawa.

Pasangan ini dikurniakan dua anak, Noriko dan Shinya.

JUNKO Tabei menanam pokok di International Mountaineers Memorial Park di Kathmandu pada 28 Mei 2003. – AFP

AKHIR HAYAT

Pada 2012, Junko disahkan menghidap kanser peritoneal, namun ia tidak menjadi penghalang buat dirinya meneruskan aktiviti pendakiannya.

Beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Kawagoe, 20 Oktober 2016 ketika usianya 77 tahun.

MENARIK JUNKO

Pendaki gunung penuh bersemangat ini sebenarnya tidak gemar menonjolkan dirinya.

Dalam satu temubual dengan Telegraph beliau mahu sentiasa dikenang sebagai individu ke-36 yang mendaki Everest dan bukannya wanita pertama berjaya melakukan demikian.

Pada November 2019, sebuah banjaran gunung di planet Pluto dinamakan sempena nama Junko sebagai penghormatan atas pencapaiannya.

Malah, ahli astronomi juga menamakan salah sebuah asteroid sebagai 6897 Tabei.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.