Siti Hajar adalah lambang kesabaran dan ketabahan sebagai wanita sejati yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Tidak kenal putus asa dalam menghadapi segala kesukaran, kepahitan, keresahan yang ditempuh olehnya bersama anak kecilnya, Ismail ketika ditinggalkan Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir kontang dan tiada sumber kehidupan.
Beliau adalah lambang kekuatan iman dalam menghadapi dugaan yang berat, dan tiadalah dugaan itu melainkan satu bukti ketelusan iman seseorang.
Contoh yang ditunjukkan oleh Siti Hajar yang sanggup menempuh pelbagai kesusahan hidup semata-mata kerana taatkan perintah Allah dan Rasul-Nya yang juga suaminya iaitu Nabi Ibrahim a.s, tidak syak lagi suatu contoh yang cukup baik untuk diteladani.
Kisah ketabahan Siti Hajar turut mempunyai kaitan dan falsafah penting ketika umat ini berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19. Wabak ini menguji kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian-ujian yang berat khususnya dalam kehidupan rumah tangga.
Selepas Siti Hajar diturunkan di tempat tanpa penghuni dan tanpa berlengah lagi Nabi Ibrahim bersiap sedia untuk meninggalkan mereka.
Apabila Siti Hajar melihat perlakuan suaminya yang bergegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil bertanya: “Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu di sini dengan tiada bekalan yang cukup?” Adakah Allah yang perintahkan kamu?
Nabi Ibrahim menjawab: Ya. Ketika itu Siti Hajar berkata dengan penuh keyakinan: “Kalau begitu maka Dia (Allah) tiada akan menghampakan kami”.
Tanpa menoleh ke belakang Nabi ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan bayi yang masih menyusu sehingga menjauh beliau berhenti lalu berdoa: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.
Ternyata Nabi Ibrahim a.s tidak bimbang berubah hatinya kerana tidak tertahan perasaannya meninggalkan isteri dan anaknya di tempat yang amat mencabar. Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim, bekalan makanan dan minuman pun habis. Air susu ibu pun sudah mulai kering .
Anaknya, Ismail menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak mencari air di tengah padang pasir yang kering lagi tandus itu?
Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana.
Namun Siti Hajar tidak berputus asa. Dari tempat lain, dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan memancar sumber mata air.
Dia pun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia berulang-alik sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwah mencari sumber air.
Tiba-tiba dengan rahmat Allah, sedang Siti Hajar mencari-cari air, terpancutlah air yang berjauhan dari tempat pencarian siti Hajar yang akhirnya diberi nama zamzam.
Selepas peristiwa itu, kabilah yang lalu akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus bermastautin di situ yang akhirnya menjadi kota Mekah kerana dekat dengan sumber air itu.
Begitulah akhirnya doa nabi Ibrahim a.s yang berdoa agar tempat ini menjadi tumpuan orang ramai untuk datang di kabulkan oleh Allah SWT. Pengajaran yang pengorbanan Siti Hajar dapat disimpulkan sebagai berikut:
Pertama, ujian adalah tanda kasih Allah kepada hambaNya, baik kepada lelaki atau perempuan. Oleh sebab itu Allah menguji para nabi dan Rasul dan mereka yang dekat kedudukannya dengan ujian yang berat.
Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya balasan yang besar bergantung kepada ujian yang berat, Allah apabila kasih kepada hamba maka ia akan menduganya, barang siapa yang reda maka ia akan mendapat reda dan barang siapa yang murka maka ia akan mendapat murka. (riwayat Tirmidzi).
Ini membuktikan semakin berat ujian semakin tinggi kedudukan dan darjat seorang hamba.
Kedua, tidak sekali-kali putus asa dalam berusaha dan tidak putus harapan berusaha dan cuba mendapatkan keajaiban dan bantuan Allah SWT.
Ini dapat dilihat melalui usaha dengan penuh harapan kepada Allah dan bukan kepada usahanya sendiri. Akhirnya Allah SWT berikan bantuan-Nya dari tempat yang berlainan dari kawasan Siti Hajar mencari air.
Dengan demikian, tidak selalunya rezeki datang dari tempat yang kita cari rezeki, namun ada kalanya ia datang dari tempat lain.
Ketiga, kunci kejayaan sebuah keluarga adalah kepada ketaatan kepada Allah SWT. Siti Hajar apabila mengetahui ketika ditinggalkan di tempat yang gersang dan tiada sumber kehidupan bersama dengan Nabi Ismail, beliau tabah menerima ketentuan itu.
Selain itu cuba memberi kekuatan pada diri sendiri dan juga kepada Nabi Ibrahim a.s dengan meyakinkan suaminya agar jangan bimbang akan keselamatan mereka kerana Nabi Ibrahim sedang menjalankan perintah Allah SWT juga.
Keempat, doa Nabi Ibrahim untuk keluarganya merupakan penyelamat untuk mereka dan menjadi asbab keberkatan sehingga dikenang ke hari ini. Khususnya ketika dalam pelaksanaan amal ibadah haji atau umrah.

* Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










