Kaedah Dian formula mudah kuasai taranum - Utusan Malaysia

Kaedah Dian formula mudah kuasai taranum

Azlan Mohamad Ali mengajar anak muridnya mempelajari kaedah Dian untuk taranum al-Quran secara dalam talian berikutan PKP di Kluang, Johor. UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMPELAJARI al-Quran termasuk membaca dan melagukannya menjadi dambaan bagi setiap Muslim. Bagaimanapun tidak semua orang berpeluang menguasai ilmu berkenaan lantaran pelbagai kekangan.

Galakan membaca al-Quran dengan suara yang baik termasuk bertaranum adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu. (Riwayat Abu Daud (1468)

Menurut Imam al-Nawawi makna hadis di atas adalah hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. (Fatawa Imam al-Nawawi, 293)

Bertitik tolak daripada niat untuk memudahkan orang ramai supaya mempelajarinya, seorang guru al-Quran, Azlan Mohamad Ali, 42, yang juga pengasas Pusat Pengajian al-Quran Al Bayan di Kluang, Johor mencipta formula khas yang dipanggil sifir kaedah Dian.

Sifir kaedah Dian boleh dirumus sebagai cara yang mudah, pantas dan berkesan bagi mempelajari lagu atau taranum al-Quran yang selama ini disalah sangka sebagai susah serta memerlukan bakat yang khusus.

Pengasas Pusat Pengajian al-Quran Al Bayan yang juga guru al-Quran, Azlan Mohamad Ali.

Menurut Azlan yang juga pemegang tauliah guru takmir dan al-Quran daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kaedah Dian adalah kaedah yang meletakkan taranum sebagai asas pembelajarannya.

Ia terhasil secara kebetulan apabila kajian mengenai penggabungan kaedah tausikh (sifir) dan tradisional mengikut kehendak semasa.

“Apa yang paling penting di dalam pembelajaran al-Quran adalah dapat membaca dengan bacaan terbaik dan mampu dizahirkan.

“Kaedah ini pada asalnya direka untuk rakan-rakan saya yang mengalami masalah mencari jalan mudah untuk mempelajari taranum al-Quran,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Azlan, secara umum kaedah Dian mempunyai 10 objektif asas termasuk menghasilkan lebih ramai golongan celik al-Quran, sebagai sumber alternatif untuk mempelajari al-Quran dan memberi pembelajaran al-Quran yang lebih sistematik.

“Dalam jangka panjang, saya berharap usaha ini dapat membentuk komuniti yang sama-sama membantu menyampaikan pendidikan al-Quran, sekali gus membuka jalan untuk mempelajari ilmu lain berkaitan al-Quran,” katanya.

 

KAEDAH ASAS

Ditanya perbezaan ketara antara kaedah diciptanya berbanding kaedah biasa, Azlan berkata, kaedah Dian hanyalah kaedah asas bagi golongan yang langsung tidak mempunyai asas taranum al-Quran.

“Prinsip kaedah Dian mudah iaitu belajar sehingga pandai, mengutamakan bacaan bertajwid, memahami bahawa keupayaan setiap murid berbeza dan menjaga adab bila berdepan dengan al-Quran,” katanya.

Azlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Islam & Pengurusan) daripada Universiti Terbuka Malaysia berkata, kaedah utama kaedah Dian termasuk sukatan mata pelajaran, jangka masa dan alat bantuan mengajar.

“Pelaksanaannya pula membabitkan tujuh kaedah asas iaitu penekanan pada mula dan akhir lagu, menghafal dan mengulangi tausikh, memerhatikan gelombang suara dan tidak terlalu syadid di dalam burdah murid.

“Selain itu perlu terus mencuba melengkapkan ayat walaupun burdah ada kesalahan, soal jawab iaitu hafalan tausikh, membaca dengan atau tidak bersama guru dan merakam suara sendiri,” katanya.

Azlan Mohamad Ali juga mengajar al-Quran secara bersemuka sebelum pelaksanaan PKP di Kluang, Johor.

Katanya lagi, kaedah Dian dicipta kerana keinginannya mahu melihat semua orang dapat membaca al-Quran dengan baik lebih-lebih lagi dapat melagukannya.

“Saya sedang dalam proses merangka kaedah membaca al-Quran dengan bertajwid melalui pemerhatian dan ujikaji terhadap huruf tajwid biasa dan melalui tanda tajwid rasm Uthmani, yang dinamakan kaedah Aslan.

“Saya juga sudah menyusun kaedah ketiga khusus bagi mereka yang langsung tak kenal huruf jawi namun ingin membaca al-Quran,” katanya.

Beliau berharap usaha kecilnya itu mendapat keberkatan Allah SWT kerana percaya ilmu dikurniakan kepada dirinya boleh ditarik pada bila-bila masa.

“Semoga seluruh dunia Islam akan bersinar kembali dengan cahaya al-Quran, agar setiap orang Islam menjadi cahaya untuk menerangi satu sama lain.

“Dunia kembali menjadi milik umat Islam dengan keberkatan al-Quran dan akhirat menjadi syurga buat pengamal al-Quran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×