Saya juga pernah mengalah... - Fattah Amin - Utusan Malaysia

Saya juga pernah mengalah… – Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI ini kali kelima saya menemu bual pelakon dan penyanyi, Fattah Amin sepanjang bergelar wartawan. Kali terakhir saya bertemu empat mata dengannya sekitar Ogos tahun lepas. Iya, ketika isterinya, Nur Fazura masih sarat mengandung.

Kini di kala pandemik, hanya Whatsapp menjadi medium utama. Untung Fattah bukan sejenis artis yang susah menjawab pertanyaan. Orangnya memang cool dan santai. Tidak mudah melatah.

Pertanyaan demi pertanyaan dilayangkan. Ada yang dia terpaksa menolak dengan baik untuk menjawab. Soalan apa? Biarlah hanya kami berdua sahaja tahu. Tidak perlu runsing kepala bukan?

Menyelusuri pelayaran Fattah dalam lautan seni, kita semua adalah saksi bagaimana ombak dan badai menghempas bahteranya. Adakalanya ombak yang memukul cukup kuat, namun dia kekal bertahan.

Lantas saya melayangkan soalan pertama, adakah jiwanya kini setegar karang di laut? Melalui beberapa episod hitam yang mungkin masih segar dalam fikiran kita, apakah dia juga menyimpan rasa yang sama.

“Sejujurnya, hampir sedekad dalam industri, bermacam dugaan telah saya tempuh. Tetapi itu semua tidak pernah tersimpan dalam hati. Bagi saya, itu satu ujian yang harus kita lepas dan tinggalkan.

“Memang adakala kita akan tertekan, tak bersemangat. Kita akan rasa penat, mahu mengalah. Nama pun manusia. Tetapi cinta saya kepada industri seni terlalu dalam, katalah apa pun, saya tetap berdiri,” katanya.

Benar, dia pernah dikecam pelakon kayu. Suaranya pernah menjadi bahan gelak tawa. Buku tulisannya pernah tular dan dikritik hingga ke muka surat terakhir. Namun, dia membuktikan sebaliknya.

Ironinya, isu parking valet KLCC yang pernah menjadi bahan jenaka kerana tidak wujud, kini menjadi satu realiti. Apakah dendam masih berbekas? Adakah Fattah mahu melaungkan, “Ya! Kata-kataku akhirnya benar belaka.”

“Itu kisah yang sudah lama. Saya tak mahu cakap isu itu lagi. Saya sudah melalui pelbagai proses dan momen apabila orang kecam serta kritik. Saya tidak boleh memuaskan hati semua orang.

“Saya cuba letak diri sepositif yang boleh. Apabila saya sudah letakkan matlamat untuk berjaya dalam dunia seni, hakikatnya pasti akan ada segala macam jenis cabaran. Saya bertatih dari bawah, berjalan dan berlari,” katanya.

Gusar Jiwa bapa

Bergelar bapa kepada Nur Fatima Aisya adalah anugerah terindah dalam hidup pelakon Hero Seorang Cinderella ini. Jiwa anak kecil itu melengkapi segenap erti bahagia dalam hidup Fattah dan Fazura.

Tidak hairan, tatkala soalan mula berbicara soal Fatima yang kini memanjat tangga usia lapan bulan, nada Fattah bertukar teruja. Dia tidak mampu menyembunyikan kegembiraan sebagai seorang bapa.

“Semestinya bila sudah bergelar bapa ini, dunia kita berbeza. Kita akan lihat momen indah yang tidak boleh dibayangkan sebelum ini. Melihat Fatima membesar hari demi hari, itu sesuatu yang cukup indah,” katanya.

Namun dalam kesyukuran dan kegembiraan, Fattah tidak boleh menyembunyikan kerisauan. Berat hati tatkala memikirkan, masa-masa akan datang jika kesibukan kerja mula mengambil alih perhatiannya.

“Saya cukup risau jika satu hari nanti, masa yang terluang untuk bersama Fatima akan menjadi lebih singkat. Mungkin kerana kesibukan kerja dan perniagaan. Sebagai bapa, masa adalah perkara yang perlu saya korbankan.

“Saya mahu lihat dia membesar di depan mata. Menjadi saksi bagaimana dia menghela nafas kehidupan dan menjadi pelindung kala dia memerlukan. Saya akan sentiasa ada untuk dia. Setiap saat dan ketika,” katanya.

Masih berbicara soal Fatima, umum mengetahui Fattah dan Fazura cukup tegas dalam urusan puteri kesayangannya. Maka tidak hairan, mereka teliti dalam memastikan anakanda tercinta tidak menjadi pusat perhatian di kala masih kecil.

“Bukan menolak atau tidak terima langsung sebarang tawaran duta atau jemputan program, cuma kami akan betul-betul meneliti serta berbincang terlebih dahulu.

“Bila sudah terima tawaran duta atau sebaliknya, pasti akan ada komitmen dan sebagainya. Itu yang saya dan Fazura selalu fikirkan, okey atau tidak,” katanya.

Tak pernah menyerah

Gelanggang soalan terus dibuka, lantas saya bertanya, di mana dan siapa Fattah Amin lima tahun akan datang. Dia diam seketika, mencuri beberapa saat untuk menghela nafas. Perlahan dia menjawab;

“InsyaAllah, lima tahun lagi saya akan menjadi bapa yang terbaik untuk Fatima dan jika ada rezeki lain, untuk anak-anak kami. Saya juga akan jadi lelaki kiriman Tuhan yang terbaik untuk isteri, Nur Fazura.

“Dalam konteks seni pula, saya mahu jadi pelakon yang lebih versatil. Banyak watak sudah dibawa, tetapi jiwa saya belum puas. Banyak lagi yang saya mahu kejar dan raih sebagai anak seni.

“Saya sendiri tidak pernah meletakkan had kepada diri untuk mencuba sesuatu yang berbeza, Keberanian mengambil risiko tanpa takut untuk gagal. Saya mahu jadi pelakon yang berkualiti, hebat,” katanya.

Di kala pandemik ini, pastinya hidup Fattah dan Fazura juga terkesan. Apatah lagi, saban hari ada sahaja keluhan pemain industri seni yang mengadu kehilangan kerja dan pendapatan mereka.

“Bukan saya dan Fazura sahaja yang terkesan, semua orang merasainya. Saya bukan bercakap mewakili pemian industri sahaja. Ada yang bergantung kepada pendapatan harian, mereka lebih terkesan.

“Alhamdulillah, kami masih ada rezeki daripada Tuhan. Perniagaan, kempen dan duta kepada beberapa produk memberi kami pendapatan. Ramai lagi yang terkesan. InsyaAllah, semuanya akan kembali seperti sedia kala,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN