Ketika era 90-an, lagu Aku Tak Marah, dendangan kumpulan Arrow cukup hits. Bukan sahaja merupakan ‘lagu wajib’ bagi penyampai stesen radio tempatan, malah turut diperdengarkan melalui corong pembesar suara di serata pusat beli-belah serta sajian halwa telinga pengguna pengangkutan awam terutamanya bas mini yang cukup terkenal di ibu kota zaman itu.
Lagu yang berlatarkan elemen blues dan ballad ini bukan sahaja mempunyai melodi yang puitis, malah lirik indah dan mudah difahami menjadikan karya ini antara lagu yang cukup diminati kala iitu.
Bersama Khabar Legenda, penyanyi versatil, Mohd Zain Ramli, 52, atau lebih di kenali dengan panggilan Renggo, berkongsi cerita, kisah manis serta pahit maungnya dalam mengharungi cabaran sebelum bergelar anak seni hari ini.
“Sejak di bangku sekolah rendah lagi saya minat menyanyi. Seingat saya ketika usia 12 tahun. Namun bakat tersebut hanya terhad di situ. Maklumlah budak kampung, mana tahu nak cari saluran untuk ketengahkan bakat waktu itu.
“Selepas tamat sekolah, saya merantau ke Singapura dan bekerja di sebuah limbungan kapal. Waktu itu kumpulan saya ada 40 orang pekerja. Setiap kali bila nak hilangkan rasa bosan ketika bertugas kami akan bergilir-gilir menyanyi. Ketika itulah rakan-rakan puji suara dan beritahu bakat saya boleh pergi jauh. Mereka syorkan saya ke Kuala Lumpur untuk cuba nasib jadi penyanyi,” katanya membuka perbualan.
Tiada niat menyahut cabaran, tetapi tidak salah untuk mencuba jika benar rezekinya di situ. Di ibu kota dia berkenalan dengan rakan-rakan penjual ubat. Berbekalkan minat dan sedikit bakat dalam diri, dia seterusnya dipelawa menjadi penyanyi. Walau sekadar penghibur di kaki lima, namun dia tetap bersyukur atas rezeki yang diterima.
Ditawarkan menjadi artis rakaman oleh komposer Mahzan B ibarat bulan jatuh ke riba. Bergabung bersama beberapa orang rakan, mereka akhirnya diterima menjadi artis naungan Fantasia Music City (FMC). Album pertama Sasaran Gemilang yang diterbitkan pada 1995 cukup mendapat sambutan. Lagu Aku Tak Marah sekali gus hits dan berjaya mengungguli carta di beberapa stesen radio tempatan.
“Dengan segala berkat dan usaha lima tahun bersama Arrow, saya memiliki lima buah album. Selepas itu saya bergerak secara solo dan berjaya memiliki 13 album. Satu pencapaian yang cukup memberangsangkan buat kerjaya saya sebagai penghibur.
“Ketika negara mengalami kegawatan ekonomi pada 1998, saya mula menceburkan diri dalam perniagaan. Saya buka warung roti canai di Cheras. Kemahiran buat roti canai ni memang dah lama ada dalam diri iaitu sewaktu di kampung lagi. Sebabnya saya ni adalah penggemar roti canai. Ibaratnya kalau orang lain suka makan nasi, saya pula suka makan roti canai,” katanya.
BAWA DIRI
Namun panas yang disangka berpanjangan hingga ke petang, rupanya diselangi hujan di tengahari. Jodohnya bersama insan tersayang ketika itu tidak panjang. Bersama dua orang cahaya mata dia membawa diri berhijrah ke Puchong. Di daerah baharu, sekali lagi dia mencuba nasib menyambung perniagaan yang tertangguh sebelum ini.
Ajal, jodoh dan rezeki adalah kuasa yang maha esa. Tidak menunggu lama, pelantun lagu Niat di Hati Tak Nak Berpisah ini bertemu jodoh buat kali kedua. Kehidupannya ketika itu dilihat cukup lengkap apabila perniagaan yang diusahakan semakin maju, di samping tawaran undangan pentas yang tidak pernah putus.
“Saya dikurniakan lima orang anak dalam perkahwinan kedua ini. Namun sekali lagi diuji. Bahtera yang saya harap bertahan lama, akhirnya karam sekali lagi. Saya pasrah dan tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kali ini saya nekad untuk bina kehidupan di tempat lain dan tinggalkan Kuala Lumpur.
“Bukan bermaksud ingin bawa diri, tapi saya tidak boleh tinggal lagi tinggal di situ. Jika diingat terlalu banyak yang melukakan hati dan perasaan serta maruah diri yang tercalar. Saya tidak akan pulih jika masih berada di Kuala Lumpur. Alang-alang nak pergi, biarlah saya tinggalkan semuanya,” katanya.
Melalui seorang saudara, dia akhirnya berhijrah ke Kelantan membawa bersama tujuh orang anak hasil daripada dua perkahwinannya. Bertapak di Kampung Sungai Petai, Pasir Putih dia meneruskan perniagaannya. Sekali lagi sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Hidupnya kembali tenang apatah lagi dikelilingi oleh zuriat tersayang.
Jika sebelum ini warungnya sering menjadi tumpuan ramai, namun sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, dia terpaksa melakukan Plan B, dengan mempromosikan produk roti canai beku. Menurutnya, sambutan yang diterima cukup menggalakkan, malah saban hari produknya laris ditempah pelanggan.
Sudah malas nak fikir soal jodoh
Walau pernah dua kali gagal dalam melayari bahtera perkahwinan, namun dia tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak termasuk bekas isterinya. Baginya dia rela dipersalahkan atas kegagalan kerana tidak mampu membimbing mereka. Ibarat nakhoda sebuah kapal. Jika karam atau hilang arah kemudinya maka dialah yang bertanggung jawab. Jujurnya diakui apa yang terjadi adalah kelemahan dirinya.
“Bagaimanapun saya dan bekas isteri tidak pernah bermusuh. Kami masih lagi boleh berhubung terutamanya mengenai hal anak-anak. Kadang-kadang kena percaya, jadi rakan adalah lebih baik daripada hidup bersama. Sekarang ini saya tenang hidup bersama anak-anak. Itu sudah cukup menggembirakan,” katanya.
Penyanyi lagu Sendu Di Hatimu Rindu Di Jiwaku ini mengakui setiap apa yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Rintangan dan dugaan yang dilalui sebelum ini ditelan sebagai asam garam kehidupan.
Tidak pernah mengeluh malah jauh sekali meratap dan menyesali tentang kisah silamya yang berliku. Baginya perjalanan masih berbaki di hadapan. Selagi ada nafas, selagi itu dia akan terus berjuang bersama insan-insan tersayang yang dekat dengan dirinya.
“Sekarang ni malas nak fikir soal jodoh dah. Umur pun dah menjelang senja. Tapi kalau jodoh itu datang saya terima sahaja, namun tidak mahu terburu-buru. Buat masa ini lebih baik saya tumpukan kehidupan pada perniagaan dan anak-anak sahaja.
“Jadi orang bujang mcam sekarang ni lagi seronok. Nak berkawan dengan siapa, nak balik jam berapa tak ada siapa nak larang, janji kita tahu apa yang kita buat.
“Bila dah kembali solo, saham pula naik mendadak. Ada juga yang ajak bercinta dan bernikah. Tapi saya dah malas nak serabut-serabut otak. Saya nak hidup tenang. Kalau sekadar nak berkawan tiada masalah. Bila ada komitmen nanti jadi susah. Bila dah start je I love you, you love me, habislah! Memang masak!” katanya tertawa mengakhiri perbualan.










