PKP cetus minat ke dapur - Utusan Malaysia

PKP cetus minat ke dapur

Nik Mohd. Shariff Nik Abdul Ramahan bersama kek batiknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesanggupan pelanggan memesan kek batik dari Kuala Lumpur ke Banting dengan kos penghantaran RM77, sedangkan harga kek hanya RM70, menerbitkan rasa terharu Nik Mohd. Shariff Nik Abdul Ramahan, 28.

Pegawai eksekutif di sebuah syarikat perbankan ini memberitahu, tempahan berulang daripada pelanggan sama memberikan semangat pada dirinya untuk terus menghasilkan kek terbaik buat pelanggan yang menggemari kek hasil air tangannya itu.

Katanya, pada peringkat awal, beliau terkejut juga menerima tempahan dari lokasi yang jauh daripada kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur.

Lebih-lebih lagi kek batik bukanlah kek rumit untuk dibuatnya.

Banyak tutorial tersedia di internet yang boleh dicari dan seterusnya dicuba.

“Barangkali juga kekuatan media sosial yang selalu saya gunakan sebagai medium untuk mempromosi hasil sentuhan saya, mendorong pelanggan untuk menikmatinya. Hari ini jarak bukan lagi menjadi halangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pemuda berasal dari Kelantan ini berkata, beliau mula berjinak-jinak membuat kek batik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac 2020.

Daripada pemuda yang tidak pernah membuat kek dan memasak, PKP mendidiknya turun ke dapur.

“Bosan juga apabila duduk rumah asyik menonton televisyen.

“Begitupun, selepas mencuba berpuluh kali, barulah saya dapat resipi paling sesuai dengan selera saya,” katanya.

Menurut beliau, apabila membawa kek batik ke pejabat, ada rakan yang suka dan ingin menempah. Bertitik tolak daripada itulah bermulanya episod baharu dalam hidupnya.

Daripada situlah jugalah dapur menjadi tempat untuknya melakukan kerja sambilan sebagai pembuat kek batik.

“Saya mula menerima tempahan kek Ogos tahun lalu, media sosial Instagram, @the _bakenik digunakan sepenuhnya sebagai platform pemasaran. Usai tugasan di pejabat, beliau akan sibuk ke dapur menyiapkan tempahan pelanggan.

“Kadangkala saya memasak sampai ke dinihari. Saya buat satu-satu sebab kalau sekali banyak, rasanya pasti akan tidak konsisten,” katanya memberi penerangan.

ADA pelanggan membuat tempahan ulangan kek batik sehingga enam kali.

RESIPI YOUTUBE

Mengenai resipi rahsianya, Nik Mohd. Shariff yang mesra di panggil Nik, memberitahu dia hanya mempelajari resepi itu di YouTube.

Selebihnya diolah mengikut cita rasa sendiri.

“Masa mula dulu ada yang keras. Ada yang tidak menjadi. Pendek kata, banyak juga yang terpaksa dibuang begitu sahaja,” katanya.

Kek batik katanya, tidaklah sukar dibuat tetapi bagi bagi memastikan cita rasanya konsisten, ia perlu disukat dengan baik.

Bagi dirinya, beliau selesa menggunakan sukatan cawan yang dirasakan lebih mudah.

“Kalau dibandingkan dengan kek keju, kek batik lebih rumit. Namun mungkin bahan biskut di dalamnya menjadikan ramai yang menyukainya, kerana lebih mudah kenyang.

“Ada juga pelanggan yang menempah hingga lima ke enam kali. Saya rasa terharu dengan sambutan ini.

“Lebih daripada itu saya juga tidak sangka saya mampu berbuat sesuatu yang tidak pernah saya terokai sebelum ini iaitu pembuatan kek,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nik merancang untuk memperhebatkan lagi kek batik rekaannya itu mungkin dengan menambah dapur.

“Saya yakin, di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya