Situasi di mana kaunter perniagaan dipenuhi dengan pelbagai paparan kod QR tidak akan kelihatan lagi dengan adanya standard QR Malaysia, DuitNow QR.
Ia dibangunkan penyedia infrastruktur pembayaran nasional yang membangunkan ekosistem DuitNow, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, berkata perkhidmatan DuitNow QR akan memanfaatkan peniaga dan pelanggan secara lebih berkesan.
Malah katanya, ia diterimapakai oleh pihak bank dan eDompet sekaligus memberi kemudahan kepada pelanggan melaksanakan bayaran secara meluas.
“Sebagai usaha kami untuk mempromosikan pembayaran tanpa tunai dan menggalakkan penggunaan kaedah pembayaran digital lebih mudah, cekap dan juga tanpa sentuhan, perluasan ekosistem DuitNow QR merupakan suatu keutamaan di dalam agenda kami.
“Selepas pelancaran DuitNow QR pada 2019, PayNet menerima penyertaan bank dan penyedia perkhidmatan eDompet bagi membolehkan pelanggan membuat pembayaran dengan menggunakan aplikasi mudah alih pilihan,” katanya.
DuitNow QR diwujudkan selaras dengan Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM) dan PayNet dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan standard QR nasional yang saling boleh kendali di Malaysia.
Penggguna boleh membuat bayaran dengan mengimbas kod DuitNow QR menggunakan telefon pintar dan pembayaran akan dibuat secara terus dari bank atau akaun eDompet pengguna, ke akaun bank peniaga.
Pembayaran diproses dengan serta-merta dan notifikasi segera juga akan dihantar kepada kedua dua pihak.
DuitNow QR juga tidak memerlukan kedua-dua pelanggan dan peniaga sebagai pelanggan bank atau atau eDompet yang sama. Malah ia menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih baik bagi kedua-dua pihak peniaga dan pelanggan.
“Dengan penerimaan pembayaran QR yang kian meningkat, kami menggalakkan peniaga menghubungi salah satu institusi pengendalian DuitNow QR (bank atau eDompet),” katanya.











