Sudah hampir tiga minggu cinta mereka diijabkabulkan. Percintaan yang disulam disudahi dengan senyuman manis di atas pelaminan. Dua sejoli ini menghitung detik bahagia saban hari.
Rata-rata peminat memuji keserasian pasangan bahagia, Ayda Jebat dan Nabil Mahir. Kecomelan dan aksi bersahaja tanpa berselindung menarik perhatian warganet. Walau ada yang suka tetapi jangan dilupa, tetap ada yang ‘jelik’.
Menjawab kepada komen-komen segelintir warganet yang tidak suka melihat kemesraan mereka, baik Ayda atau Nabil, mereka tidak mahu ambil pusing. Mereka hanya mengejar kebahagiaan dan menikmatinya bersama.
“Apa sahaja yang saya kongsi di media sosial adalah apa yang berlaku dalam hidup. Banyak perkara positif dan ilmu yang saya perolehi menerusi perkongsian di media sosial.
“Sebenarnya bab itu, terpulang kepada individu tersebut. Jika anda melihat sesuatu dengan mata hati negatif, maka anda akan mula berburuk sangka dan cemburu. Tetapi lihatlah dari sudut positif sesuatu itu.
“Sebab itu saya tak mahu beri komen panjang lebar kalau ada orang tanya pasal peminat jelik atau tak suka. Saya hanya melihat dari sudut positif sahaja. Yang lain, kita buat tak tahu,” kata Ayda.
Menariknya, walaupun ada segelintir pihak yang kurang senang melihat kebahagiaan dipaparkan, Ayda berkata, banyak jenama sudah mendekati mereka untuk berkerjasama mempromosikan produk terpilih.
Maka dia tidak merasakan perkongsian itu membawa kemudaratan kepadanya dan suami. Apatah lagi, ramai peminat yang berkongsi kisah rumah tangga mereka atau ilmu dalam menjalani kehidupan bersuami isteri.
“Contohnya bila saya kongsi momen solat berimamkan Nabil. Ramai yang tegur supaya saya solat di belakang Nabil bukan di tepi. Itu satu ilmu yang baharu untuk saya dan Nabil. Kami pun baru kahwin kan.
“Malah bila saya kongsi rahsia Nabil yang suka pakai baju koyak di rumah, ramai juga peminat yang bercerita perangai sama suami mereka. Jadi di situ saya ada interaksi dengan peminat.
“Sebab itu saya tidak mahu ambil kisah sangat bila ada yang komen tak suka. Baik saya fokus kepada peminat yang berkongsi kegembiraan dan ilmu daripada turut ‘lemas’ dalam fikiran negatif segelintir pihak,” katanya.
KENALI PASANGAN
Bergelar suami isteri, hidup pasti berbeza daripada sekadar berteman. Apabila berkahwin dan mula tidur sebantal, bermula situlah kita akan mengenal luar dalam seseorang.
Diaju soalan apakah perangai pelik Nabil setelah bergelar suami, pelakon wanita itu ketawa dahulu sebelum melontar jawapan. Berbisik dia bercakap supaya tidak ‘kantoi’ dengan Nabil.
“Nabil ini menghidap kecelaruan obsesif kompulsif (OCD). Jadi dia sangat teliti terutama melibatkan kebersihan. Ada satu cerita, saya ini di rumah memang akan pakai stokin.
“Bila di rumah sendiri, saya akan letak stokin dalam sinki (ada dua sinki). Tetapi bila pindah hidup bersama, saya jadi biasa untuk letak sahaja stokin dalam sinki. Jadi, Nabil terus ‘bising’.
“Tetapi itulah kemanisan berumah tangga. Kita belajar mengenali suami kita dengan lebih dalam,” katanya yang menangguhkan majlis persandingan ke satu tarikh yang belum dipastikan.
Mengakui status sebagai isteri mematangkannya, Ayda berharap agar hidupnya terus diserikan dengan bunga-bunga cinta. Dia percaya, Nabil adalah lelaki kiriman Tuhan yang terbaik untuk dirinya.
“Saya perlu belajar untuk menjadi isteri yang terbaik untuk Nabil. Saya percaya toleransi, kepercayaan dan saling hormat menghormati adalah kunci kebahagian dalam berumah tangga,” katanya.
Tak kecil hati – Nabil
Belum cukup sepurnama membina masjid, pasangan ini sudah diduga dengan serangan warganet. Paling tidak boleh diterima apabila ada individu menyuruh Ayda bercerai dengan Nabil dan berkahwin dengan Zul Ariffin.
Menyifatkan individu tersebut sebagai kurang bijak kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk dek akal sama sekali, Nabil enggan ambil pusing. Dia tidak mahu melayan kebodohan itu.
“Tidak berkecil hati pun cuma rasanya dia itu kurang bijak. Saya sendiri telah menjawab kenyataannya dan menyuruh dia sendiri berkahwin dengan pelakon lelaki itu. Saya tak mahu layan negativiti,” katanya.
Berbicara soal tanggungjawab baharu sebagai suami, Nabil berkata, dia belajar sesuatu yang baharu saban hari. Dia punya tanggungjawab untuk menjaga amanah Tuhan itu.
“Memang berbeza. Sekarang kena jaga isteri. Saya sendiri masih dalam proses jadi suami yang baik. Doakan semoga perkahwinan kami diberkati dan dipermudah,” katanya.










