Kenali Negeri Serambi Mekah dalam pameran tiga dekad Kelantan membangun bersama Islam - Utusan Malaysia

Kenali Negeri Serambi Mekah dalam pameran tiga dekad Kelantan membangun bersama Islam

MOHD. Amar Abdullah (depan) melihat pameran Tiga Dekad Kelantan Membangun Bersama Islam (1990-2020) di Muzium Negeri Kelantan di Kota Bharu baru-baru ini.– utusan/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELANTAN hari ini kekal sinonim dengan identiti pentadbiran Islam hingga digelar sebagai Negeri Serambi Mekah, selepas implementasi kepimpinan ulama dalam pemerintahan negeri.

Ini juga merupakan hasil daripada teras model pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Pas yang menggunakan konsep ‘UMI’ iaitu ubudiyah (pengabdian terhadap Allah), mas’uliyah (akauntabiliti) dan itqan (komited).

Sempena genap 30 tahun pentadbiran tersebut, satu pameran ‘Tiga Dekad Kelantan Membangun Bersama Islam (1990-2020)’ diadakan di Muzium Negeri Kelantan bermula 1 November hingga 31 Disember depan.

Bermula di ruang legar hinggalah ke seluruh pelosok Galeri Pameran Muzium Negeri menyimpul cerita dan perjalanan sepanjang 30 tahun pentadbiran Kelantan diterajui kepimpinan ulama.

Pameran percuma untuk tatapan umum itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah, baru-baru ini.

Antara tarikan pameran termasuklah koleksi barangan peribadi milik ulama tersohor yang juga bekas Menteri Besar, Almarhum Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tak mungkin dapat dilihat di tempat lain.

Koleksi itu terdiri daripada himpunan kitab al-Quran, rehal, sejadah, pakaian, kasut dan tongkat yang sentiasa digunakan Nik Abdul Aziz selain buku dan nota catatan harian Allahyarham.

Pengarah Muzium Kelantan, Ahmad Shargowi Deraman berkata, pihaknya sebagai pelaksana berharap pameran tersebut dapat meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke muzium.

Menurutnya, objektif pameran itu adalah memberi maklumat berkenaan kejayaan serta perubahan yang telah dilakukan kerajaan dalam mentadbir negeri berdasarkan prinsip ‘Membangun Bersama Islam’.

“Sejarah pentadbiran kerajaan negeri ini dipaparkan bermula tahun 1990 di zaman pentadbiran Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sehinggalah kepada pentadbiran Ustaz Datuk Ahmad Yakob kini, dipamerkan sebagai perkongsian maklumat kepada semua pengunjung.

“Selain itu juga, setiap dasar oleh kerajaan negeri dalam 30 tahun mentadbir negeri Kelantan turut diuar-uarkan agar masyarakat mengetahui keprihatinan kerajaan menjaga kebajikan rakyat bukan sahaja untuk keberkatan di dunia bahkan untuk akhirat.

“Setiap dasar itu kita bahagikan kepada tiga bahagian iaitu 10 tahun pertama, 10 tahun kedua dan 10 tahun ketiga bagi memudahkan pengunjung memahami jalan cerita,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian pameran itu baru-baru ini.

Pameran dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Sepanjang pameran itu berlangsung, tiada bayaran dikenakan namun pengunjung perlu mendapatkan tiket masuk di kaunter Muzium Negeri Kelantan.

Setiap keping tiket melayakkan pengunjung menyertai kuiz silang kata, sekali gus memenangi pelbagai hadiah menarik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN