Bajet 2021, usahawan wanita mengharapkan bantuan perniagaan digital - Utusan Malaysia

Bajet 2021, usahawan wanita mengharapkan bantuan perniagaan digital

USAHAWAN wanita perlu diperkasa dengan kaedah pemasaran digital. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bajet 2021 yang bakal dibentangkan Jumaat ini diharap dapat memberi fokus kepada memperkasa wanita dalam ekonomi berasaskan digital.

Bentuk perniagaan itu dilihat bukan sahaja dapat membantu wanita menjana pendapatan semasa dunia berdepan pandemik Covid-19, sebaliknya pengurusannya dilihat lebih mudah dan tidak melibatkan kos terlalu tinggi.

Presiden Persatuan Wanita dan Ibu Tunggal (Witus), Shiella Tukimin berharap, kerajaan memberi insentif tertentu seperti bantuan kursus perniagaan dalam talian.

Katanya, ilmu berkenaan boleh digunakan sebagai memantapkan kemahiran dalam perniagaan bentuk baharu seperti digital.

“Kaedah memasarkan secara digital memiliki masa depan cerah kerana çapaian perniagaan kepada pelanggan secara lebih menyeluruh.

“Saya menyifatkan kursus digital ini sangat diperlukan untuk membantu wanita mempromosi perniagaan secara dalam talian dalam situasi tidak dijangka seperti pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bantuan dimaksudkan itu antara lain menyediakan rangkaian kepada semua usahawan dari kalangan ibu tunggal untuk memasarkan produk.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita Lenna Selangor, Umananthini Gnanapragasam pula berharap lebih banyak insentif diberikan dalam bentuk peluang pekerjaan kepada wanita menerusi pekerjaan di rumah.

Katanya, bentuk pekerjaan sedemikian memudahkan wanita khususnya ibu tunggal yang memiliki anak ramai untuk tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk menghantar anak ke pusat asuhan.

“Suatu waktu dahulu, suri rumah diberikan projek membuat sarung tangan atau alatan kilang di rumah. Saya kira cara ini amat membantu wanita untuk terus menjana sumber pendapatan sungguhpun hanya bekerja dari rumah,” katanya.

BAJET PERLINDUNGAN WANITA PERLU
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sharifah Habsah Syed Hassan Shahabudin berkata, selain aspek ekonomi peruntukan bajet harus ada daripada segi perlindungan daripada keganasan rumahtangga.

SHARIFAH Habsah
Syed Hassan Shahabudin

Katanya, ia disifatkan suatu keperluan dalam situasi ramai orang berdepan tekanan hidup kesan pandemik.

“Pemberhentian kerja menyebabkan sumber kewangan keluarga terjejas. Situasi itu boleh memberikan tamparan kepada sesebuah rumahtangga dan dalam banyak keadaan ia juga pencetus kepada penderaan domestik,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mempercepatkan rang undang-undang gangguan seksual dan rang undang-undang kesaksamaan jantina.

Pandangan sama turut dilontarkan Presiden Persatuan Muslimah Malaysia (PMM), Wan Asshima Kamaruddin yang berkata, bajet seharusnya mengambil kira aspek kesihatan mental golongan wanita khususnya kaum ibu.

“Saya percaya dalam situasi sekarang, ramai wanita khususnya ibu, terjejas dari aspek mental sehingga menyebabkan ada antara mereka yang mengalami gangguan kesihatan, kemurungan dan stres.
“Kestabilan emosi dan mental kaum ibu adalah penting kerana ibu juga adalah tulang belakang keluarga,” katanya.

Beliau turut berharap bajet wanita kelak akan merangkumi dana khusus untuk kaum ibu sebagaimana wujudnya dana seperti Bantuan Sara Hidup (BSH).

PANDEMIK mengubah gaya kerja masyarakat dunia termasuk wanita – GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Menurut Shima, bantuan khusus kaum ibu itu penting kerana ia dapat mengelak kepincangan hak seperti duit tidak sampai kepada ibu atau isteri dan sebagainya.

“Kebanyakan penerima bantuan BSH adalah ketua keluarga iaitu suami. Ada ketika bantuan kewangan itu perlu dikongsi untuk kegunaan keluarga dan isteri atau ibu, mungkin tidak dapat merasa duit tersebut untuk kegunaan sendiri.

“Jika diwujudkan satu lagi bantuan khas untuk kaum ibu, mungkin kita dapat kurangkan sikit masalah stres yang dihadapi kaum ibu terutama dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga dan anak-anak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×