Hamil? Doakan untuk saya- Siti Nurhaliza - Utusan Malaysia

Hamil? Doakan untuk saya- Siti Nurhaliza

SITI berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FIGURA hebat ini sememangnya cukup sederhana orangnya. Tidak pernah sekali dirinya melatah apatah lagi memberi jawapan sinis tatkala ditanya soalan panas. Dia seolah kebal namun tidak lokek manis senyuman.

Pastinya di tangga usia lebih dua dekad bergelar nakhoda bahtera seninya, bergentayangan pengalaman menjadi peta panduan. Pelbagai kontroversi, pahit difitnah dan bermacam lagi ujian sudah ditempuh mematangkannya.

Diaju soal rezeki anak, mungkin bagi figura seni lain, itu cukup pahit untuk ditelan hidup. Namun, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap membalas dengan lirik mata mengukir senyumannya.
Sementelah, ramai yang mula berspekulasi tentang kehamilannya. Ada yang sudah seperti duduk serumah mengiyakan desas desus itu. Ada juga mula menjadi Detektif Conan, merungkai satu persatu bayangan yang ada.

Mana tidaknya, hanya kerana puteri sulungnya, Siti Aafiyah mencium perutnya berulang kali tatakala bersama dalam sesi live penyanyi bersuara emas ini, kecoh terus media sosial. Rata-rata seperti meraikan berita kemenangan yang ditunggu lama.

Namun suri hati Malaysia ini mahu peminat terus mendoakan usahanya untuk mendapatkan cahaya mata keduanya. Malah dia sendiri tidak pernah berselindung berhubung soal rezeki anak.

“Mengenai prosedur IVF juga saya kongsikan sebelum berehat dahulu. Sesiapa yang mengetahui bagaimana proses dan perjalanannya, mereka akan memahami kenapa saya pinta untuk berehat.

“Semuanya ada prosedur dan saya menjalaninya dan berusaha apa yang terbaik. Saya kira diri perlu diberikan masa. Saya sendiri sudah memberitahu media dan peminat bahawa perlu berehat sebelum ini,” kata penyanyi yang sudah memiliki 19 album ini.

Tidak tersinggung apatah lagi berkecil hati tatkala soalan tentang kehamilan diulang tanya, jelas penyanyi lagu berhantu Cindai ini, apa yang dia dambakan kini adalah doa ikhlas daripada peminat tersayang.

“Saya tidak pernah berselindung tentang saya mahu berehat dan berusaha untuk mendapatkan zuriat. Tentunya saya meminta masa untuk semua ini. Justeru, saya hanya mohon para peminat mendoakan apa yang terbaik,” kata isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.

KRITIKAN ASAM GARAM ARTIS
Bukan mudah bergelar seorang Siti Nurhaliza. Setiap gerak geri, tindak tanduk diperhatikan segenap manusia. Buruk baik sentiasa diperkatakan. Itu bayaran setimpal seorang anak seni.

Populariti itu bukan hadir bersama suka. Disulami duka, itu pastinya ada dalam setiap diari hidup anak seni berjaya. Begitu juga Siti Nurhaliza. Ada sahaja yang tidak suka, tidak berpuas hati.

Sering kali dikritik soal penampilannya, menerusi muzik video lagu baharu, Siapa Tak Mahu, Siti Nurhaliza seperti ‘membalas dendam’. Menutup mulut-mulut nakal yang sering kali melabelnya sebagai mangsa fesyen.

Mana tidaknya, gaya penampilannya dipuji ramai. Malah, peminat sangat suka dengan kesegaran dan fesyen yang ditampilkan dalam muzik video tersebut. Tidak hairan, hanya dalam seminggu, video itu sudah mendapat lebih 2.1 juta tontonan!

Namun, benarkah dia berkecil hati dengan kritikan haters? Kepada Utusan Malaysia, pemegang tujuh trofi Bintang Paling Popular Siti Nurhaliza meluah rasa hati.

Hits: Siti Nurhaliza seringkali berdepan dengan kritikan terutama soal fesyen dan penampilan. Sejujurnya, adakah Siti Nurhaliza berkecil hati atau terguris dek kecaman demi kecaman yang diterima?

Saya sudah terbiasa dengan kritikan dan sentiasa memperbaiki dari semasa ke semasa, tidak kira dalam apa jua termasuklah fesyen. Sebagaimana saya mahu memberikan yang terbaik di dalam album atau persembahan mahupun konsert, begitulah juga soal penampilan.
Namun saya bukan lagi di zaman anak dara macam dahulu, semuanya haruslah sesuai dan seiring dengan usia sendiri.

Hits: Ramai yang teruja dan suka dengan penampilan Siti Nurhaliza dalam video muzik tersebut. Ada yang cakap kali ini Siti Nurhaliza seperti ‘membalas dendam’. Ada komen?

Apa yang saya gayakan di dalam video muzik tersebut adalah bersesuaian dengan watak sebagai pengintip atau menyamar. Kebetulan video muzik Siapa Tak Mahu menampilkan konsep saya harus berlakon beberapa watak dengan penampilan yang berbeza.
Penonton dapat melihat saya menggayakan pelbagai jenis fesyen. Bagi saya, fesyen dan watak itu sesuai untuk saya gayakan di dalam video muzik tersebut.

Hits: Boleh kongsikan bagaimana konsep dan idea muzik video termasuk tatarias digarap? Adakah Siti Nurhaliza merupakan mastermind dalam pembikinan Muzik video tersebut?
Saya diberikan storyboard dan juga berbincang dengan penata gaya, Abu Shaef Hamza mengenai penampilan. Memang ada yang saya berbincang mengenai sesuai atau tidak dengan watak dan juga pakaian.
Kami berbincang selepas saya diberikan storyboard. Alahmdulillah peminat suka dan teruja dengan video tersebut.

Hits: Bercakap soal peminat, sebelum ini, timbul pertelagahan dalam kalangan peminat dan pengkritik di laman sosial sehingga mencetuskan kontroversi. Malah ada juga petugas Siti Nurhaliza sendiri yang menjawab sinis kritikan yang diberi. Adakah Siti Nurhaliza tahu tentang perkara itu?

Baik pihak saya atau peminat ataupun haters, apa yang perlu pada masa sekarang ini, terutama di dalam industri seni kita yang tak sebesar mana ini, adalah saling menyokong dan menghargai di antara satu sama lain.

Pihak pengurusan, Kak Rozi sering menasihatkan para peminat supaya kami sama-sama menghargai bakat artis lain dan saya sendiri melihat bagaimana semua ini dibina dengan positif.
Saya tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Perkara ini lumrah di dalam apa jua yang kita lakukan, ada yang akan memberi teguran, ada yang memberi kritikan, tetapi sentiasa ada cara terbaik kerana itulah yang akan menjadikan persekitaran kita sihat.

Saya sendiri tidak mahu ada unsur negatif baik dalam kalangan orang terdekat, peminat mahupun yang bukan peminat kerana masing-masing ada bakat, misi dan tanggungjawab.

Hits: Apa nasihat Siti Nurhaliza kepada peminat supaya tidak bertelagah dalam media sosial sedangkan anda sebagai anak seni tidak pernah mengguris hati mana-mana pihak apabila berdepan satu isu?

Saya mengenali hati budi peminat-peminat yang benar-benar tahu bagaimana Sitizoner itu diasuh dan setiap kali ada perjumpaan, ada ikrar yang kami bacakan bersama-sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×