fbpx

27 Oktober 2020, 7:55 pm

  TERKINI

PKPB: Noryn Aziz awalkan tarikh bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Hanya membuat persiapan dalam tempoh 24 jam, penyanyi Noryn Aziz kini sah bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan, Shaik Rizal.

Menjelaskan sepatutnya bernikah pada 25 Oktober ini, kata Noryn, dia terpaksa mempercepatkan tarikh pernikahanya kepada semalam bagi membolehkan majlis itu dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapatnya.

Alhamdulillah katanya, segala persiapan dapat dilaksanakan dengan baik dalam jangka masa 24 jam dengan pertolongan kaum keluarga terdekat, sahabat handal dan juga team semuanya.

“Alhamdulillah, hajat dan keinginan itu tercapai dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Kami bersyukur kerana semuanya diatur dengan mudah. Saya percaya semua ini kerana kebesaran Allah.

“Bagaimanapun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, majlis (pernikahan) tersebut akhirnya diputuskan untuk diadakan lebih awal.

“Ini kerana, kami berhasrat untuk hari bahagia mereka dihadiri oleh kaum keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi saat perkenalannya dengan suami, kata Noryn, 44, semuanya bermula melalui hubungan profesional sejak penghujung tahun lalu.

“Semuanya berlaku sekelip mata. Baik saya dan Rizal sendiri pada awalnya tidak ada terfikir untuk menjadi kekasih.

“Hubungan kami benar-benar secara profesional namun suami saya banyak mendorong saya untuk lebih berjaya dalam industri seni sehinggalah lama-kelamaan saya dapat rasakan kehadiran Rizal amat menyenangkan saya dan juga keluarga terdekat.

“Keperibadiannya memikat saya. Dia seorang yang sangat positif dan banyak memberi sokongan moral yang padu kepada saya dalam segala urusan bisnes saya. Untuk makluman, suami saya adalah seorang ahli perniagaan dalam industri pembangunan dan pembinaan.

“Selepas beberapa bulan kami menjadi lebih akrab (terutama sekali dalam waktu MCO bermula Mac lalu), banyak bercerita soal masa depan yang akhirnya kami sepakat untuk mengakhiri hubungan persahabatan kepada ikatan yang lebih suci,” katanya.

Tambah Noryn, majlis pernikahannya dihadiri 3o tetamu turut diadakan dalam suasana norma baharu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Sebelum ini, Noryn pernah bernikah dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan berpisah pada tahun 2018.

Hasil pernikahan mereka, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Raja Bariq Umar Shah.

BERITA BERKAITAN