MARii perkenal laman sesawang Prokerja - Utusan Malaysia

MARii perkenal laman sesawang Prokerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Institut Automotif, Robotik dan Internet Pelbagai Benda (IoT) Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini melancarkan Prokerja.

Ia adalah sebuah laman sesawang yang memberi peluang kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau lepasan institusi kemahiran, mencari peluang pekerjaan sebagai operator pengeluar di dalam sektor automotif dan pembuatan.

Platform digital yang sudah siap sedia untuk diguna ini dibangunkan dengan tujuan meningkatkan mobilisasi tenaga kerja mahir tempatan dan memastikan penyertaan belia secara optimum. Ia melalui penjodohan pencari kerja dan program-program penempatan pekerjaan bagi belia tempatan yang lebih sistematik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, dengan mendaftar secara online di Prokerja, pencari kerja berpeluang mendapat pekerjaan melalui Program Industry Led Professional Certificate (IPC).

IPC adalah salah satu program pembangunan modal insan anjuran MARii yang dirangka bersama pihak industri. Program ini dijalankan sejak 2012 dan setakat ini telah melatih lebih 33,000 belia tempatan.

Antara objektif program ini ialah melahirkan tenaga kerja tempatan mahir dan berteknologi dalam teknologi pembuatan.

 

MADANI SAHARI

Di samping itu, program ini juga bertujuan mengurangkan kebergantungan pihak industri kepada pekerja-pekerja asing.

Selain itu memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berkemahiran dan berteknologi dalam sektor automotif dan pembuatan yang makin mencabar dan kian berubah dengan teknologi.

“Prokerja bukan sahaja memudahkan pendaftaran bagi mereka yang berkelayakan malahan ia dapat memberikan impak positif kepada program IPC untuk melahirkan operator pengeluar yang mahir melalui pembelajaran modul-modul khusus dan menjalani latihan industri.

“Sepanjang tempoh enam bulan program IPC, pelatih akan didedahkan kepada pengetahuan am industri, kemahiran dan budaya kerja bidang perindustrian yang sebenar,” ujarnya.

Sepanjang program ini, tiada yuran dikenakan dan perbelanjaan hidup merangkumi penginapan, pengangkutan, makan dan minum akan ditanggung sepenuhnya.

Perlindungan takaful juga akan disediakan kepada pelatih. Setelah tamat sebulan latihan kelas, para pelatih akan diberikan sijil Industry Led Professional Certificate (IPC) dan sijil Industry Led Professional Certificate – Advanced Apprenticeship Programme (IPC-AAP) setelah tamat lima bulan latihan praktikal.

Sijil-sijil ini diiktiraf oleh MARii dan industri-industri di Malaysia dan melayakkan peserta mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di bawah kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu.

“Kami berharap lebih ramai belia tempatan yang sedang mencari pekerjaan dapat menggunakan kemudahan platform digital Prokerja yang disediakan. Rebutlah peluang ini demi masa hadapan yang lebih terjamin,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×