Kenzo tinggal legasi - Utusan Malaysia

Kenzo tinggal legasi

KENZO bergambar dengan hasil karyanya pada pameran lukisan di Paris, 16 Jun 2010.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemergian ikon fesyen Kenzo Takada, 81, di Perancis, Ahad lalu akibat Covid-19 menambah duka dunia yang sedang berdepan pandemik meragut nyawa itu. Kreativiti ideanya yang luar biasa membolehkan dirinya membina empayar fesyen di Paris pada usia 26 tahun. Kehebatan luar biasa itu membolehkannya memperoleh anugerah Legion d’Honneurm anugerah tertinggi kerajaan Perancis.

Pereka antarabangsa ini mendaki tangga kejayaan daripada bawah. Kala ramai antara rakan sebaya melihat masa depan berkisar kepada pekerjaan di sekitar kampung atau negeri kelahiran, anak kelahiran Osaka, Jepun ini sudah pun membulatkan cita-cita menjadi pereka fesyen tersohor dunia.

Berasal daripada keluarga terlibat dengan perniagaan perhotelan, namun minatnya terarah kepada bidang seni.

Minatnya terhadap dunia seni membolehkan beliau tampil cemerlang hingga muncul sebagai pelajar cemerlang di kolej Bunka Gakuen di Tokyo.

Bakatnya terus diasah dengan berkhidmat dengan rangkaian kedai fesyen utama, Sanai. Penganjuran sukan Olimpik 1964 di Jepun mengakibatkan flat diduduki Kenzo dirobohkan kerajaan untuk pembinaan stadium.

Wang pampasan digunakannya untuk ke Eropah dengan menaiki bot kargo ke Marseille.
1965 DI PARIS

Beliau tiba di Paris pada musim sejuk 1965. Kenzo sememangnya menyerahkan seluruh hidup pada ketentuan takdir. Tanpa tahu bertutur bahasa Perancis beliau menyara hidup bekerja di kedai dandanan anjing.

Sekitar 1970, beliau menyewa sebuah premis di pasar raya lama, Galerie Vivienne sebelum mempersembahkan koleksi fesyen pertamanya menggunakan model amatur.

                                                                 Antara fesyen rekaan Kenzo Takada

 

Pertunjukan fesyennya itu hanya mengundang 20 tetamu termasuk Ketua Pengarang Majalah Elle.

Siapa sangka, persembahan bajetnya itu menarik minat majalah Elle untuk memaparkan koleksi beliau pada muka depan majalah fesyen itu. Identiti rekaan yang menggambungkan unsur Timur dan Barat antara keunikan tidak dimiliki pereka seangkatannya di Eropah waktu itu.

Bertitik tolak daripada itu namanya kian dikenali. Pada 1980-an, jenama itu sudah terkenal di Paris dengan koleksi pakaian lelakinya dilancarkan pada 1983, manakala produk minyak wangi pada 1988. Waktu itu butiknya sudah banyak dibuka di New York, London, Milan dan Singapura. Mendiang bersara pada 1999, iaitu enam tahun selepas menjual jenamanya kepada konglomerat mewah, LVMH.

Sekitar tahun 80-an, di mana ramai rakyat Asia ingin mencari rezeki di Paris, beliau terlebih dahulu membuktikan dirinya sebagai rakyat pertama Jepun menempa nama di Paris. Legasi Kenzo terus diingati sebagai tokoh Asia cemerlang di Barat. Mendiang membuktikan kesungguhan berupaya menjadikan kita ‘besar’ malah mampu merubah masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN