fbpx

27 Oktober 2020, 8:46 pm

  TERKINI

Jeritan generasi radikal: Suara rakyat lawan perkauman

Radikal muncul dengan single terbaharu, Generasi. – INSTAGRAM RADIKAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA yakin ramai antara kita yang mahu menjerit sekarang. Menjerit untuk meluahkan segala rasa marah dan kecewa terhadap apa yang terjadi baik dalam negara mahupun di seluruh dunia.

Sebelum kita menjerit, Radikal sudah menjerit dahulu.

Mereka melancarkan video muzik untuk single terbaharu mereka iaitu Generasi pada 31 Ogos lalu bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan.

Lagu hasil kolaborasi bersama Azlan & The Typewriter ini adalah single kedua selepas mereka tampil dengan Evolusi tahun lalu.

Generasi dicipta oleh Wan dan lirik oleh Jai. Jai yang turut bertindak sebagai penyanyi berkata, lagu ini adalah kupasan tentang isu perkauman yang berlaku dalam negara pada 2019 sehingga 2020.

“Dalam meniti arus globalisasi, semoga kita terus bersatu untuk hari seterusnya,” tulisnya dalam ruangan komen pada muzik video lagu ini di Youtube.

Radikal meneruskan identiti mereka melalui penulisan lirik yang sarat dengan perkataan klasik dan pinjaman.

Seperti juga dalam Evolusi, Jai menggunakan kata-kata klasik dan pinjaman Sanskrit seperti betara, wahana, segara, pawitera, sahmura dan wilmana dalam lirik lagu ini.

Mungkin sukar difahami tetapi langkah yang baik bagi memperkenalkan kekayaan bahasa Melayu melalui penggunaan perkataan yang hampir hilang daripada kosa kata generasi baharu.

Lebih menarik lagi, Radikal adalah kugiran metalcore yang menggunakan teknik jeritan dalam hampir keseluruhan lagunya. Cuma dalam Generasi, ada bahagian nyanyian bersih oleh Azlan.

Radikal juga satu-satunya peserta dalam Separuh Akhir Anugerah Lagu Indie yang menampilkan nyanyian jeritan dalam keseluruhan lagu apabila mereka layak menerusi lagu Evolusi.

Jai mempunyai vokal jeritan yang baik kerana mampu mempelbagaikan gaya jeritannya, terutamanya dalam lagu Generasi.

Generasi adalah jeritan rakyat jelata yang semak dengan kontroversi perkauman di Malaysia.

Terdapat pelbagai perasaan yang dapat diekstrak melalui lagu ini seperti kemarahan, kekecewaan dan rayuan.

Dapat dikesan juga semangat anarkis yang mahu generasi baharu di negara ini membebaskan diri daripada cengkaman elit politik yang hanya mahu melaga-lagakan masyarakat melalui penggunaan kata betara dan emansipasi.

Generasi adalah karya segar yang dibawa Radikal untuk memperkenalkan genre metalcore kepada lebih ramai pendengar.

Radikal boleh diikuti di semua platform media sosial dengan nama pengguna Radikal.Rasmi. Kedua-dua lagu mereka juga boleh didengar di Spotify selain muzik video di saluran Youtube Radikal Band.

BERITA BERKAITAN