TATKALA pelakon cantik, Mira Filzah menamatkan zaman bujangnya, ramai yang meluahkan rasa simpati terhadapnya. Entah kenapa. Mungkin kerana mereka pernah digosipkan konon-konon sedang hangat bercinta.
Namun pelawak, Zizan Razak hanya buat tak tahu. Tidak mahu ambil pusing dengan ‘lawak jenaka’ warganet yang bertanyakan soal perkahwinan. Ada perkara lebih besar harus dia fikirkan. Bukan siapa calon isteri.
Tidak ada daya lain, dia runsing memikirkan kesihatan neneknya yang semakin merosot. Keluarga adalah keutamaannya kini. Hal lain dia tolak tepi. Doanya kini supaya neneknya, Wan Zainon Ismail segera sembuh.
MEMBATASKAN LANGKAH
Berulang alik Kuala Lumpur-Terengganu, jelas Zizan, keadaan kesihatan neneknya cukup merisaukan keluarga. Malah kesibukannya sebagai anak seni sering kali membataskan langkahnya untuk sering pulang ke kampung menziarahi insan tercinta.
“Nenek saya sudah berusia lebih 80 tahun. Baru-baru ini saya dikejutkan dengan berita dia jatuh sakit. Ketika itu, terus saya balik Dungun. Tak fikir apa. Hanya risau dan banyak-banyak doa semuanya baik-baik sahaja.
“Orang lain tak faham apa yang saya lalui sekarang. Soal kahwin itu semua bukan keutamaan. Banyak lagi masalah yang saya harus depani selain hendak fikir soal kahwin. Itu semua ketentuan Ilahi. Sampai masa, Dia temukan juga jodoh saya.
“Saya hanya mahu beri fokus kepada keluarga. Hendak jaga mereka yang lebih tua. Semua ini buat saya lesu dan tidak bermaya. Namun tugas dan kerja harus saya utamakan juga. Itu sumber rezeki, tak boleh buat main,” kata pelakon filem Polis Evo itu.
Memohon ruang untuk tidak bertanyakan lagi soal cinta, Zizan terkilan gelaran sebagai pelawak seolah-olah menjadi tiket untuk warganet mempersendakan dan menganggap dia tidak ada hati dan perasaan.
PELAWAK
“Orang ingat kita pelawak. Kena menghiburkan dan sentiasa bergelak ketawa. Kami juga manusia biasa ada hati dan perasaan. Bila berdepan situasi begini, hendak tidur malam pun susah. Kadang-kadang nak bercakap pun tak larat.
“Alhamdulillah, produksi drama, filem dan program hiburan cukup memahami situasi serta kekangan saya. Mereka beri ruang untuk saya bernafas. Malah peminat juga turut sama mendoakan yang terbaik, terima kasih,” kata lelaki berusia 36 tahun itu.










