Keikhlasan Raja Muda Perlis menyentuh perasaan rakyat - Utusan Malaysia

Keikhlasan Raja Muda Perlis menyentuh perasaan rakyat

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama rombongan kayuhan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 sejauh kira-kira 20 kilometer (km) di sekitar Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEIKHLASAN baginda sering menyentuh perasaan setiap individu yang pernah bersua dan berbual dengan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sikap baginda yang mudah mesra dengan rakyat membuatkan baginda dan kumpulan berbasikal dapat diterima serta disambut baik setiap kali program berbasikal diadakan sama ada di Perlis mahupun di luar.

Setiap pembesar dan orang kenamaan yang datang ke Perlis pasti akan berpeluang berbasikal bersama-sama tuanku di sekitar negeri yang terkenal dengan keindahan semulajadi itu.

Setiap program kayuhan pasti ada pengisiannya seperti menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf atau mereka yang ditimpa bencana.

Baru-baru ini baginda mengadakan kayuhan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 sejauh kira-kira 20 kilometer (km) di sekitar Pulau Pinang yang mempunyai laluan khas untuk basikal sepanjang 200km.

Kayuhan itu turut didedikasikan kepada barisan hadapan yang berjuang memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Jasa pahlawan dan wira negara amatlah bernilai dan tidak terbalas oleh kita semua.

“Negara kita aman dan selamat sekarang hasil kerja keras pemimpin-pempimpin terdahulu dan juga wira-wira yang bersengkang kudrat dan tenaga dalam memastikan rakyat terus selesa dalam membentuk negara harmoni,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus bertanggungjawab menjaga diri dan sesama sendiri ketika dunia sedang mendepani pandemik Covid-19.

“Maka semangat patriotisme yang tinggi mestilah disemai sepenuhnya dalam jiwa raga setiap rakyat Malaysia untuk kita sama-sama berasa lebih sayang pada negara kita,” titah baginda.

Sejak 2014, Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berkayuh di sekitar selatan Thailand dan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang kayuhan itu bagi menunjukkan semangat patriotisme dengan diiringi ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri serta swasta di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menanam pokok sempena kayuhan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

Walau bagaimanapun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan sempadan negara yang masih ditutup, baginda berkenan memilih Pulau Pinang untuk menyemarakkan lagi semangat Hari Kemerdekaan pada tahun ini.

Kayuhan itu disertai 120 orang itu bermula dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Padang Kota dan berakhir di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Jalur Gemilang turut dikibarkan sepanjang kayuhan.

Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik penanaman pokok Sea Hibiscus di GSD Cycling Park, Queensbay sebagai kenang-kenangan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan delegasi turut melawat Perkampungan Cina di Jeti Lee dan Pulau Jerejak serta beramah mesra dengan penduduk sekitar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Datuk Bandar Pulau Pinang, Datuk Yew Tung Seang dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan.

Turut serta, Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas; Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttallib; Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Hassan Embong; Ketua Polis Negeri, Datuk Surina Saad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Profesor Dr. Badlishah Ahmad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN