Saintis nuklear Iran 'disembunyikan' selepas serangan Israel - Utusan Malaysia

Saintis nuklear Iran ‘disembunyikan’ selepas serangan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran dilaporkan memindahkan baki saintis nuklearnya ke lokasi rahsia susulan konflik berdarah selama 12 hari pada Jun lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang akibat serangan udara Israel.

Menurut pegawai kanan Iran kepada akhbar The Telegraph, lebih 15 saintis kanan yang terselamat telah meninggalkan rumah dan universiti masing-masing untuk berlindung di kawasan selamat berhampiran Teheran atau di pesisir pantai utara negara itu.

Namun, penganalisis keselamatan Israel memberi amaran sesiapa sahaja yang mewarisi kerja saintis yang terbunuh akan tetap menjadi sasaran.

“Mereka yang tinggal akan berada di barisan hadapan sebarang usaha Iran untuk menghasilkan bom nuklear, justeru mereka secara automatik akan menjadi sasaran Israel seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” kata bekas ketua Meja Strategik Iran dalam Agensi Perisikan Pertahanan Israel, Danny Citrinowicz.

Menurut laporan The Telegraph, Israel dipercayai memiliki senarai sekitar 100 saintis nuklear Iran yang mungkin menjadi sasaran pada masa depan bagi menghalang cita-cita nuklear Tehran.

Dalam peperangan 12 hari itu, sekurang-kurangnya 14 pakar atom terkemuka Iran maut termasuk bekas Ketua Organisasi Tenaga Atom Iran, Fereidoun Abbasi, dan Presiden Universiti Islam Azad Teheran, Mohammad Mehdi Tehranchi.

Mereka didakwa terlibat secara langsung dalam pembangunan uranium diperkaya tinggi yang menurut Israel bakal digunakan untuk senjata nuklear.

Kematian mereka mendorong kerajaan Iran melaksanakan langkah keselamatan baharu terhadap saintis yang masih hidup, termasuk menggantikan pensyarah universiti yang terlibat dalam program nuklear dengan individu yang tiada kaitan dengan projek itu.

Langkah keselamatan ini diambil hanya beberapa hari selepas Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas jurutera reaktor, Rouzbeh Vadi, kerana didakwa menjadi tali barut Israel dan membantu serangan terhadap rakan-rakannya.

Selepas perang, Iran melancarkan operasi besar-besaran membanteras kegiatan pengintipan dengan menahan ratusan orang di seluruh negara serta mengusir lebih sejuta pelarian Afghanistan yang didakwa menjadi ejen Israel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN