NAMANYA sedang selesa berada di puncak populairiti. Semakin hari, namanya disebut-sebut dan berjaya menjadi antara selebriti dambaan ramai produser dan penerbit.
Dua dekad membuktikan bakat, bagi Elly Mazlein, populariti yang dikecapi hari ini bukan semudah mematahkan sebatang pensel. Onak ranjau dan cabaran yang ditempuhi cukup pahit untuk dikenang.
Namun itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang insan seni. Pelayaran merentasi lautan pasti ada ombak yang membadai bahtera. Maka, dia telan dan hadam dengan reda.
Berlakon, menyanyi dan mengacara, semua dia ‘sapu’. Tanpa mengira stesen televisyen, wajahnya ada di mana-mana tanpa prejudis. Maka tidak hairan, ada mulut jahat yang mula melabelnya sebagai tamak.
Hanya tersenyum manja tatkala ditanya soal persepsi itu, bagi Elly rezeki tuhan, tidak sepatutnya dipersoal dan ditolak. Dia tahu, apa yang dikecapi sekarang adalah bayaran air mata dan keringatnya selama ini.
“Apabila produksi tawar kerja, serba salah mahu tolak. Lagipun itu rezeki. Ketika orang masih mahu dan terima penampilan saya, setiap tawaran itu rezeki. Sebab itu saya terima dengan terbuka asalkan kena dengan jadual.
“Memang ada yang label saya tamak, macam nak kaut semua. Tetapi itu permintaan produser dan peminat sendiri. Saya sebagai pekerja dalam dunia seni kena pandai menyusun jadual kerja dengan baik.
“Takut orang bosan? Alhamdulillah, setakat ini respons peminat sangat positif. Sebab itu selagi khidmat diperlukan, tugas saya untuk melaksana tanggungjawab itu sebaiknya,” jelas ibu kepada seorang anak ini.
Berbicara soal kerjaya, wanita besi ini bersyukur peminat menerima gaya gedik dan manjanya tatkala menggalas tugas sebagai pengacara atau pelakon. Di saat mungkin ramai yang dikecam jika over, tetapi penampilan Elly disukai ramai.
“Saya hanya jadi diri sendiri. Alhamdulillah, peminat suka dengan karakter dan cara saya mengacara serta berlakon. Dulu ada juga rasa risau tapi lama-kelamaan, saya cuba untuk pikat mereka dengan jujur hati.
“Tapi ada juga tegur, apabila jumpa di luar saya tidak seperti di layar kaca. Mereka kena faham, karakter saya di luar dan dalam mesti ada sedikit berbeza. Takkan saya nak gila-gila setiap masa kan,” kata anak kelahiran Perak ini.
Bakal merakamkan lagu baharu hasil ciptaan komposer dan penyanyi muda berbakat, Aina Abdul, Elly atau lebih popular digelar Kak Lina Pom Pom mengakui teruja dan tidak sabar untuk kembali beraksi di atas pentas.
“Bila pertama kali dengar lagu itu, saya terus jatuh cinta. Aina memang penyanyi berbakat dan komposer hebat. Saya bakal mula masuk studio bulan depan. Tunggu tau,” katanya.
Teruja program sendiri
Bakal tampil dengan program masakan sendiri Ramadan tahun depan, Elly Mazlein tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan gembira. Dia ibarat dapat merealisasikan satu lagi impiannya sepanjang bergelar anak seni.
Mahu menyuntik kelainan dan perbezaan dalam program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom (SKKLPP), isteri kepada Mohamad Azlan Che Nuh turut gementar menantikan reaksi peminat yang sudah terbiasa dengan rancangan masakan lain ketika Ramadan.
“Saya memang suka memasak. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya sering berkongsi video memasak. Mungkin itu yang menarik perhatian produser untuk berani menawarkan saya sebagai pengacara.
“Memang sangat teruja sebab ini program pertama saya sendiri. Memang peminat sudah terbiasa dengan program masakan lain yang popular cuma, saya harap mereka positif dan terbuka dengan pembaharuan yang cuba ditampilkan,” kata wanita berusia 39 tahun ini.
Membedah program yang kini dalam proses penggambaran, pelakon yang sedang hangat menerusi drama bersiri, Kampung People 2 ini menjelaskan, SKKLPP menampilkan tiga segmen dengan barisan artis jemputan yang juga sama riuh.
Diterbitkan produksi Mache All Star United Sdn. Bhd., SKKLPP bakal membariskan artis popular seperti Eyka Farhana, Wany Hasrita, Ruhainies dan penampilan istimewa, suaminya sendiri sebagai tetamu jemputan.
“Istimewanya SKKLPP terbahagi kepada tiga segmen dan setiap satu ada keunikan sendiri. Kami juga bakal menjelajah setiap negeri untuk menonjolkan keunikan masakan tradisional masing-masing.
“Menu masakan juga santai dan paling menarik, kita juga ada permainan spontan apabila tetamu dan saya perlu memasak menu yang disediakan secara rahsia oleh pihak produksi,” katanya dengan nada teruja.
Bersedia dengan segala kritikan dan respons peminat, Elly sedar, pemain industri seni tidak dapat lari daripada kecaman. Maka dia bulatkan hati dan terima semua itu secara positif dan terbuka.
“Saya tak pernah takut dengan kritikan kerana itu adalah salah satu cara untuk kita belajar dan memperbaiki diri. Kena terimalah. Ini asam garam dunia seni. Yang baik kita ambil, yang buruk pun kita ambil dan belajar,” katanya.










