Ramai tahu ketika musim Monsun Daya yang berlaku Mei hingga September, cuaca biasanya kering dan bukan musim hujan seperti yang dialami sekarang.
Namun yang menimbulkan persoalan, mengapa ketika ini hujan melanda negara sehingga menyebabkan banjir kilat.
Apa yang menyebabkan begitu? Terdapat pandangan bahawa ada sesuatu yang mempengaruhi keadaan ini sehingga mengaitkannya dengan fenomena yang dipanggil Ayunan Madden-Jullian (MJO).
MJO adalah pergerakan sistem perolakan yang membawa hujan di kawasan Tropika. Secara lazimnya, MJO bergerak dari Lautan Hindi ke Lautan Pasifik dengan kitaran setiap 30 hingga 60 hari.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Jailan Simon, MJO merupakan kitaran intra-musim paling dominan di kawasan Tropika yang wujud sepanjang tahun.
Justeru, ia boleh mempengaruhi aktiviti perolakan cuaca di kawasan Tropika. Namun begitu, ia juga dipengaruhi oleh angin monsun.
“Semasa musim Monsun Barat Daya, MJO yang wujud pada waktu ini lazimnya menyebabkan kawasan hujan berada di utara garis Khatulistiwa,” ujarnya.
Sebaliknya, kata Jailan, semasa musim Monsun Timur Laut, kawasan hujan yang berkait dengan MJO terletak di selatan garis Khatulistiwa.
Maka secara amnya, kesan MJO di Malaysia adalah lebih kuat ketika Monsun Barat Daya berbanding Monsun Timur Laut.
Dalam satu kitaran MJO yang aktif, terdapat lapan fasa yang merujuk kepada kawasan-kawasan tertentu. Daripada lapan fasa tersebut, kawasan Semenanjung Malaysia lebih terkesan pada kitaran MJO Fasa 3 manakala Sabah dan Sarawak mendapat impak semasa MJO Fasa 4.
Beliau berkata, pengaruh MJO terhadap corak cuaca di negara ini bergantung kepada fasa MJO. Ini kerana kata beliau, secara amnya ia berlaku sewaktu Fasa 3 dan Fasa 4 iaitu ketika MJO berada di barat Benua Maritim iaitu termasuk Malaysia.
Pada ketika itu, MJO yang membawa lebih kelembapan menyebabkan awan perolakan lebih mudah terbentuk dan boleh mengakibatkan hujan menjadi lebih lebat.
Semasa Monsun Timur Laut, luruan monsun yang berlaku bersekali dengan MJO Fasa 3 atau Fasa 4 boleh menyebabkan cuaca ekstrem sekiranya keadaan atmosfera sesuai.
Justeru kata beliau, jabatan tersebut sentiasa memantau keadaan cuaca secara berterusan, mengeluarkan ramalan dan amaran awal cuaca buruk akibat dari semua faktor.
Ia sama ada disebabkan oleh pengaruh setempat serta kitaran atmosfera berskala besar seperti El Niño Southern Oscillation (ENSO), sistem monsun, ribut tropika dan sebagainya, tidak terhad kepada MJO sahaja.
Jabatan tersebut turut membangun dan mengoperasikan model ramalan cuaca numerikal beresolusi tinggi iaitu pengaruh fenomena-fenomena cuaca tersebut telah diambil kira secara terperinci.
“Jabatan juga turut merujuk indeks MJO yang dihasilkan oleh agensi meteorologi antarabangsa yang lain seperti Amerika Syarikat dan Australia. MET Malaysia mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca berdasarkan kaedah sains dan teknologi yang terkini dan termaju seperti agensi-agensi meteorologi antarabangsa yang lain,” ujarnya.
MJO diambil nama sempena dua ahli meteorologi Amerika Syarikat iaitu Roland A Madden dan Paul R Julian pada 1971 yang mengkaji fenomena tropika tersebut.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, fenomena hujan yang kerap pada pertengahan tahun ada kaitan dengan MJO.

Beliau berkata, MJO yang muncul dan tidak bergerak di Lautan Hindi dikatakan sebagai Fasa 1 dan 2.
Apabila ia berlaku pada bulan Jun hingga Ogos, MJO melemahkan tiupan angin Monsun Barat Daya, sama seperti keadaan musim peralihan monsun bulan (April hingga Mei) yang banyak hujan terutama di bahagian pantai barat Semenanjung Malaysia.
“Biasanya MJO ini bergerak ke Timur tetapi menurut pusat ramalan iklim di Amerika Syarikat ia seolah-olah pegun di atas Lautan Hindi,’’ ujarnya.
Oleh kerana suhu permukaan laut di Lautan Pasifik sejuk berbanding biasa, ia menandakan keadaan yang menjurus kepada La Nina yang lemah.
Ini boleh menyebabkan tumpuan kadar kelembapan yang tinggi di rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia
“Kebarangkalian La Nina berlaku ketika ini melebihi 50 peratus,” ujarnya.










