Tumpang tuah viral media sosial - Utusan Malaysia

Tumpang tuah viral media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, banyak premis perniagaan terjejas teruk akibat langkah kerajaan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 itu.

Perkara ini turut dirasai oleh perniagaan yang bukan bersifat essential services seperti Kulim Nursery Sdn. Bhd. yang terpaksa menunggu lebih lama sebelum mula beroperasi.

Memasuki bulan April, Pengurus Besar Kulim Nursery, Salim Asmu sudah mula boleh menarik nafas lega apabila cawangan di Jalan Bukit Mutiara, Bandar Dato’ Onn mendapat kelulusan daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk beroperasi dua hari seminggu.

Walaupun sudah boleh beroperasi, Salim memberitahu, jualan di nurseri yang menempatkan lebih 10,000 pokok itu bagaikan tidak berjalan.

Memandangkan pada ketika itu masyarakat masih bimbang untuk keluar rumah dan hanya berbuat demikian apabila perlu sahaja.

“Pada awalnya, kami menjangka Covid-19 akan merencatkan perniagaan, namun lama-kelamaan ia dilihat sebagai membawa tuah buat kami.

“Mulai Mei hingga bulan lalu, jualan pokok bunga di sini meningkat hingga dua kali ganda. Ini pencapaian yang membanggakan dan di luar jangkaan.

“Mungkin pada masa PKP itu, ada banyak masa terluang di rumah hingga timbul minat untuk menghias rumah dan bercucuk tanam.

“Pokok yang banyak dijual semasa PKP ialah pokok yang mudah ditanam seperti pokok hiasan, buah-buahan serta pokok herba,” katanya.

 

SALIM Asmu memeriksa pokok kaktus yang terdapat di Kulim Nursery, Bukit Mutiara Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI 

 

Melihat aliran semasa penjualan pada ketika itu melibatkan pokok-pokok hiasan dalaman (indoor) yang tular di media sosial, Salim berkata, pihaknya mengambil kesempatan menambahkan pengeluaran pokok dalam pelbagai varian itu bagi memenuhi permintaan semasa.

 

Katanya, antara pokok hiasan dalaman yang mendapat permintaan tinggi ketika itu ialah Sanseviera, Monstera, Ficus lyrata, kaktus, Calathea dan Philodendrum.

Jelasnya, penjualan pokok berkenaan cukup laris berbanding pokok lain sehingga terpaksa membuat tempahan tambahan agar tidak terputus bekalan di tapak semaian ini.

“Di sini, kami mempunyai lebih 100 jenis pokok hiasan dalaman dan pengunjung boleh mendapatkan dalam pelbagai saiz.

“Memang kita mahukan kepelbagaian agar pengunjung berpuas hati dan rambang mata untuk buat pilihan.

“Jika membuat perbandingan harga dengan tempat lain, boleh dikatakan harga kami antara yang terendah di Johor Bahru.

“Pengunjung boleh membeli pokok hiasan ini serendah RM10 hingga RM100 mengikut jenis dan saiz yang ditawarkan,” ujarnya.

Selain tanaman berkenaan, katanya, produk Bionik Kompos yang dihasilkan juga laku dan mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan apatah lagi ia dijual pada harga yang berpatutan.

Jelasnya, Bionik Kompos ini dapat meningkatkan kesuburan tanah dan pemuliharaan air oleh aktiviti mikrob serta mengurangkan masalah tanah se­perti berasid, berpenyakit dan sebagainya.

“Bionik Kompos yang diperbuat daripada tandan sawit ini, antara yang terbaik dari segi kandungan nutrien kerana ianya 100 peratus organik dan mempunyai nilai NPK yang le­bih tinggi.

“Ia dapat meningkatkan pertumbuhan tumbuhan dan mengekalkan produktiviti yang mantap selain memastikan pengambilan baja lain lebih berkesan dari segi kadar serapan baja berkenaan.

“Dianggarkan hingga 600 pek tanah itu terjual dan kita perlu meningkatkan pengeluaran stok tanah tersebut dua kali ganda dalam masa sebulan bagi memenuhi permintaan yang meningkat mendadak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.