Orang Malaysia berkebolehan, boleh berjaya - Utusan Malaysia

Orang Malaysia berkebolehan, boleh berjaya

pertemuan bersama delegasi dari Malaysia. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Budaya dan berpersonaliti memudahkan orang Asia diterima dalam kalangan masyarakat Barat.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Oxford, Prof. Madya Dr. Masliza Mahmod berkata, perbezaan itu boleh menyuntik kepelbagaian dalam sistem pentadbiran dan pengurusan institusi atau jabatan di negara mereka.

Apatah lagi katanya, sekiranya individu itu memiliki kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman berbeza.

“Orang Barat sebenarnya berfikiran terbuka. Keunikan budaya dan personaliti kita, dilihat sebagai dapat memberi kelainan kepada sistem pentadbiran dan pengurusan dalam usaha mereka membangunkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam temubual video bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dr. Masliza membanggakan negara apabila baru-baru ini dilantik sebagai Profesor Madya di Jabatan Perubatan Radcliffe, Universiti Oxford, United Kingdom.

Lakaran sejarah tertulis buatnya apabila berjaya memperoleh geran penyelidikan kardiovaskular RM16 juta dari sebuah syarikat farmaseutikal menerusi kajian penggunaan teknik resonans magnetik jantung (CMR), pada 2017.

Ahli Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR) itu banyak memfokus kepada penggunaan pengimejan resonans magnetik kardiovaskular (CMR), teknik spektroskopi bagi pengesanan awal kelainan jantung serta mencari rawatan baharu untuk pesakit kardiomiopati, kegagalan jantung, penyakit injap aorta dan diabetes mellitus.

pa yang penting katanya, individu mesti memiliki tingkah laku positif, berkaliber dan berfikiran matang bagi membolehkan individu itu diterima dan diberi kepercayaan mengetuai atau ditawarkan ke jawatan kanan.

Berkongsi pengalaman itu, Dr Masliza berkata, dirinya diterima disebabkan idea, daya kreatif serta berupaya menangani dan menyelesaikan masalah.

Kemahiran komunikasi dan sosial dianggap bonus apabila turut dikenali sebagai seorang yang sangat diplomasi menangani isu di jabatan.

MERENDAH DIRI

Masliza berkata, beliau selesa merendah diri kerana yakin ilmu milik Allah.

“Saya hanya kongsi dan memberi tunjuk ajar pada orang lain,” katanya.

Berhubung lantikan dirinya sebagai Profesor Madya, katanya beliau sangat bangga kerana menjawat jawatan kanan akademik di universiti berprestij itu sesuatu yang menjadi impiannya sejak dulu.

“Tentunya tanggungjawab saya semakin besar. Antaranya melakukan kerja penyelidikan (mendapatkan geran penyelidikan dan penerbitan jurnal); penyeliaan & pengajaran terutamanya dalam kalangan pelajar pasca siswazah (Ph.D) dan melakukan perkhidmatan klinikal di John Radcliffe Hospital.

“Jawatan ini memberi ruang lebih luas buat saya membantu Malaysia dalam bidang Perubatan Kardiovaskular. Ia boleh membuka atau mewujudkan tempat serta peluang latihan bagi rakyat Malaysia.

“Buat masa ini saya menjalin kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mendapatkan geran penyelidikan Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Dr Masliza kini memantau pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di sana. Justeru dirinya tidaklah terlalu jauh dari bumi tercinta.

“Ada dua pelajar Ph.D dari Malaysia di bawah penyeliaan saya iaitu Aliah Abdul Jamil dari Jabatan Jurutera Bioperubatan dan Dr. Azlan Helmy Abd Samat, pensyarah perubatan dari UKM (HTCM)

 

                                                Masliza Mahmod

 

Perlu miliki minda merdeka

Anak Batu Pahat, Johor ini meninggalkan bumi Malaysia 11 tahun lalu demi mengejar cita-cita memantapkan lagi kepakaran beliau dalam bidang perubatan jantung.

Katanya, ke mana kaki melangkah mana mungkin dirinya melupakan adat dan bangsa.

“Saya bercakap Melayu sahaja bersama anak saya di rumah,” katanya dan sewaktu ditemubual memang selesa berbahasa Melayu.

Berkongsi cerita, katanya anaknya yang berusia 15 hingga 18 tahun menjadi antara pelajar terbaik dalam bidang akademik di sekolah masing-masing.

“Ramai guru di sana ‘berebut’ supaya anak saya mengambil mata pelajaran mereka sebab itu akan membantu meningkatkan gred subjek,” katanya.

ANAK BIJAK  DI SEKOLAH

Menyentuh hal berkenaan, Dr Masliza berkata beliau bertuah kerana guru di sekolah anak-anaknya memberikan sepenuh perhatian kepada pelajar.

“Mereka mendapat guru yang bagus. Saya tidak pernah suruh anak saya belajar atau bertanya sudah siap kerja sekolah atau tidak. Sebaliknya mereka akan buat sendiri tanpa disuruh. Malah anak saya sanggup tidak bercuti atau berjalan-jalan selagi tugasan sekolah belum selesai,” katanya.

ERTI MERDEKA

Sempena bulan kemerdekaan ini, Dr. Masliza turut menyampaikan dedikasi buat rakyat Malaysia untuk memiliki minda merdeka, yang berupaya melakukan sesuatu keputusan tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

“Sebagai contoh, kalau hendak mendapatkan sesuatu, kena belajar berdikari dan jangan terlalu sangat mengharap bantuan atau subsidi. Apatah lagi kalau berkemampuan, cubalah berdikari supaya bantuan dapat disalurkan kepada orang yang lain yang lebih memerlukan. Ini adalah salah satu konsep minda merdeka,” katanya.

Hal sama turut membabitkan aspek kesihatan dan jantung.

Katanya kita tidak perlu disogok dengan kempen kesihatan, kerana individu merdeka, tahu bagaimana menjalani gaya hidup sihat.

“Orang Malaysia kebanyakannya mewah dengan makanan tetapi kurang bersenam. Keadaan itu menyebabkan kadar obesiti tinggi. Itu fakta, tetapi sebagai orang merdeka, kita sepatutnya tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut di makan demi kesihatan diri. Semua orang tahu senaman adalah penting dan tak perlu diberitahu lagi,” katanya.

Mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Muhamad mengenai Melayu malas, Dr. Masliza berkata, masyarakat tidak boleh melenting sebaliknya menyahut cabaran Melayu bukan pemalas.

“Sebagai bangsa atau masyarakat yang sudah 63 tahun merdeka, kita perlu matang, berdaya tahan dalam menerima kritikan. Secara umum kita perlu sentiasa berusaha membuktikan yang kita bukan masyarakat lemah.

“Sentiasa mahu belajar, menuntut ilmu dan mengajar orang lain. Ilmu dituntut sebenarnya tidak semestinya masa usia muda. Ia satu konsep ‘lapuk’ di mana bila umur meningkat kita rasa tidak perlu belajar lagi. Sebaliknya pada usia semakin meningkat, pengalaman dan kematangan akan memberikan kita kejayaan dan pencapaian lebih mantap,” katanya.

 

PROFIL
Nama: Masliza Mahmod
Umur: 48 tahun
Menetap: Oxford, UK
Asal: Batu Pahat, Johor.

Jawatan:
Profesor Madya dan Ketua Kumpulan Penyelidikan Klinikal, Pusat Penyelidikan Resonans Magnetik Klinikal (OCMR), Bahagian Perubatan Kardiovaskular, Universiti Oxford, UK.
Pendidikan dan Latihan:
» Sarjana Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
» Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Otago New Zealand.
» Ahli Royal College of Physicians, United Kingdom (UK).
» Latihan kardiologi di Institut Jantung Negara (IJN).
» Latihan resonansi magnetik jantung (CMR) di Royal Brompton Hospital London.
» Sarjana Kedoktoran, Kardiovaskular, Universiti Oxford
» Sijil Tamat Latihan (CCT) dalam Kardiologi, UK,
» Tahap 3 (lanjutan) CMR (Cardiac MRI), USA & Royal Brompton, London
» Felo Bersekutu Kardiologi Intervensi Asian Pasifik (APSIC)
» Pendaftar Perubatan Kebangsaan & Pakar Kardiologi (Malaysia)
Pencapaian:
» Pensyarah Penyelidikan Universiti Oxford.
» Mendapat geran RM16 juta untuk penyelidikan CMR
» Geran RM1.5 juta dari Penyelidikan British Heart Foundation CMR
» Anugerah Skim dan Ganjaran Pengiktirafan dari Jabatan Perubatan Radcliffe, Perubatan Kardiovaskular.
» Penyelidik Pelawat IJN.
» Naib Johan Bernard and Joan Marshall Investigator Prize, Persatuan Penyelidikan Kardiovaskular British (BSCR).
» Skim Perubatan, Ganjaran dan Pengiktirafan Kardiovaskular Skim April.
» Finalis Anugarah Kerjaya Awal CMR, Nice, Perancis.
» Cardiology President’s Medal finalist, Royal Society of Medicine, London.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.