Kepuasan kayuhan malam - Utusan Malaysia

Kepuasan kayuhan malam

PUAS..Kumpulan pipit cycling berjaya menamatkan misi berkayuh waktu malam ke Menara Berkembar KLCC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kala sebahagian daripada kita lena diulit mimpi, kumpulan berbasikal khusyuk meredah kelam malam.

Titis embun dan peluh bersatu dalam satu misi – menerjah malam menuju Menara Berkembar KLCC.

Seperti dijanjikan, tepat pukul 10 malam, Rostam Hassan bersama kira-kira 10 rakan sudah berkumpul di Batu Caves, Selangor.

Peralatan keselamatan seperti topi keledar dan pad lutut peralatan wajib dibawa dalam setiap kayuhan.

Batu Caves, lokasi pilihan menjadi titik mula kayuhan menuju ke KLCC. Ia lantaran kebanyakan daripada peserta menetap sekitar Gombak, Selayang dan Kepong.

Bagi mencipta pengalaman lebih mencabar, Rostam dan rakan-rakan yang menggelarkan diri sebagai ‘kumpulan pipit cycling’ memilih laluan menghala ke Sentul, sebelum ke Tasik Titiwangsa, seterusnya ke KLCC.

Kata Rostam, mereka memilih laluan lama kerana kurang sibuk. Selebihnya mengelak dari menggunakan jalan besar yang dikongsi dengan kenderaan lain.

Kebanyakan ahli juga baru berjinak-jinak dalam dunia basikal. Ia jadi antara alasan kukuh kami sepakat menggunakan jalan dalam,” katanya yang lebih enam tahun bermain basikal.

Jangkaan kayuhan berjalan lancar, tergendala seketika apabila tayar basikal salah seorang daripada ahli pancit, barangkali akibat tusukan batu.

Hampir setengah jam juga misi berkenaan tergendala dek proses menukar tayar.

Bagaimanapun, peralatan lengkap dibawa oleh kumpulan itu tidak menjejaskan misi.

Biar lewat sedikit daripada terus tergendala apabila ia berjaya dikendalikan dengan sempurna. Bak kata pepatah biar lambat asal selamat. Yang pasti keselamatan ahli perlu berada dalam keadaan sempurna. Biarlah pergi bersama dan pulang jua bersama.

Begitulah semangat setiakawan yang selalu dipegang Rostam.

KLCC lokasi wajib

“Pengalaman pertama kali menjejak kaki ke KLCC, pada waktu malam rasanya sangat menakjubkan. Ia pengalaman paling indah dan mesti dicuba. Apalagi kalau kita mengaku kita main basikal,” kata Rostam ringkas ditanya mengenai lokasi pilihan kaki basikal.

Rostam berkata, ironinya Kuala Lumpur sememangnya menjadi antara lokasi wajib dituju peminat basikal.

Laluannya landai dan kurang berbukit. Malah turut diibaratkan sebagai cabaran pertama harus dilalui peminat basikal yang mahukan pengalaman berbasikal waktu malam, sebelum meneruskan ke lokasi lain lebih jauh dan mencabar seperti Putrajaya atau Cyberjaya.

Biarpun tubuh bermandi peluh, hela nafas terasa puas sejurus menyaksikan simbahan lampu menara berkembar itu. Sebelum beredar, bergambar depan KLCC sudah semestinya suatu kewajipan. Bukti pencapaian yang akan dikongsi bersama anak-anak kelak.

Kira-kira sejam menghabiskan waktu menikmati keindahan KLCC yang kekal dalam lipatan sejarah. Pencapaian peribadi itu disifatkan sebagai amat membanggakan. Kalau ditanya mengenai kepuasan, jawapannya tentulah sukar diterjemah dengan kata-kata.

Rasa, warna dan bau malam bersatu dalam keseronokan. Perjalanan pulang kumpulan pipit cycling itu sarat dengan pengalaman dan semangat. Semangat untuk terus meneroka indahnya bumi Malaysia Ku.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya