PETALING JAYA: Penyedia infrastruktur dagangan sekuriti bersedia kecerdasan buatan (AI), Longport Whale secara rasmi memasuki pasaran Malaysia melalui penyertaan dalam Pameran Perdagangan Broker Saham Bursa Malaysia 2026.
Kehadiran syarikat itu bertepatan dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP4) yang menekankan pemodenan sistem teras firma broker tempatan bagi mengimbangi pengalaman pelabur, pematuhan kawal selia dan daya tahan operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Longport Whale, Zhong Hua berkata, infrastruktur dagangan teras perlu menyokong evolusi berterusan dalam pengalaman pelabur dan kesediaan AI tanpa menambah kerumitan sistem yang sedia ada.
“Firma broker yang akan memimpin dalam tempoh sedekad akan datang bukanlah mereka yang mempunyai sistem terbaik hari ini, tetapi mereka yang sistemnya direka untuk terus menjadi lebih baik.
“Longport Whale berhasrat membawa pengalaman kami yang telah terbukti di Asia untuk membantu broker Malaysia mencapai keseimbangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Platform Whale yang dibina berasaskan seni bina mikro perkhidmatan awan asli telah dipercayai oleh lebih 100 pelanggan institusi di seluruh Asia.
Bagi pasaran Malaysia, teknologi ini memfokuskan kepada empat keutamaan utama iaitu pengalaman dagangan terbaik, prestasi sistem skala institusi, ketersambungan pasaran global serta seni bina berasaskan API untuk penggunaan AI.
Sistem ini membolehkan ketersambungan ke pasaran global merangkumi Malaysia, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun tanpa memerlukan pembinaan semula sistem yang rumit.
Selain itu, ia menawarkan pengurusan risiko masa nyata dan kependaman sistem yang rendah bagi memastikan kelancaran urus niaga.
Pengalaman syarikat di pasaran kawal selia yang ketat seperti Hong Kong dan Singapura menjadi rujukan utama bagi pengembangannya di Malaysia.
Longport Whale menyasarkan untuk bekerjasama dengan peserta industri tempatan sebagai rakan kongsi infrastruktur dan penyumbang kepada pemodenan bertanggungjawab di bawah kerangka CMP4. – UTUSAN










