Ilmu maqamat al-Quran - Utusan Malaysia

Ilmu maqamat al-Quran

ALLAHYARHAM Datuk Ismail Hashim adalah antara qari negara yang bersuara merdu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dr. Khairul Anuar Mohamad

 

Ilmu maqamat atau tarannum di negara ini mempunyai sejarah yang panjang. Namun ia mula berkembang secara tersusun pada 1960 iaitu ketika diadakan majlis tilawah peringkat kebangsaan buat kali pertama.

Pada tahun berikutnya, negara melangkah ke hadapan dan menempa sejarah apabila mengadakan majlis tilawah peringkat antarabangsa. Penganjuran majlis ini memberi kesan yang amat besar dalam pembacaan al-Quran kepada umat Islam setempat dan juga peringkat antarabangsa.

Ramai qari dan qariah yang dilahirkan hasil majlis tilawah ini dan menjadi tokoh al-Quran. Mereka telah menabur bakti dan berusaha dengan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat kaedah membaca al-Quran secara maqamat dan tajwid yang tepat.

Natijahnya, kini semua peserta ke peringkat kebangsaan mampu membaca al-Quran dengan tajwid yang betul, maqamat yang menarik serta persembahan bacaan yang baik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah banyak negara Islam turut mengikut jejak langkah Malaysia mengadakan tilawah. Antaranya ialah Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Indonesia dan Thailand.

Suara yang merdu dan lunak adalah anugerah Allah. Sudah menjadi tabie manusia suka kepada suara yang merdu dan hati jadi terhibur dan tenang ketika mendengarnya.

Dalam kalangan sahabat Nabi SAW, Abu Musa al-Asyari r.a mempunyai suara yang merdu dan menarik. Sehinggakan apabila Rasulullah SAW mendengar bacaannya, baginda memuji dengan berkata: Sesungguhnya kamu dianugerahkan seruling daripada seruling keluarga Nabi Daud a.s. (riwayat al-Bukhari). Imam Qurtubiy menafsirkan seruling di sini dengan maksud suara yang merdu.

Satu ketika nabi SAW lama menunggu Aisyah r.ha. Sejurus Aisyah tiba, baginda bertanya apa yang menghalang kamu? Aisyah menjawab wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendengar seorang lelaki membaca al-Quran dan aku tak pernah mendengar suara semerdunya. Lantas Rasulullah SAW pergi mendengar lelaki tersebut membaca al-Quran dalam tempoh yang lama kemudian balik lantas berkata ia adalah Salim Mawla Abi Huzaifah, segala puji bagi Allah yang menjadikan umatku seumpamanya. (riwayat Tirmizi).

Salim Mawla Abi Huzaifah adalah salah seorang yang disabdakan Rasulullah SAW: Belajarlah dan ambillah al-Quran daripada empat orang berikut: Abdullah Ibn Mas’ud, Ubay Ibn Ka’ab, Muadz Ibn Jabal dan Salim mawla Abi Huzaifah (riwayat al-Bukhari).

Menurut Imam Nawawi, empat orang itu disebut adalah kerana mereka lebih tepat dalam sebutan lafaz atau lebih teliti membaca meskipun ada sahabat lain yang lebih fakih makna dan tafsir al-Quran. Selain itu, mereka juga banyak mempelajari al-Quran daripada Rasulullah SAW secara musyafahah.

Dalam bacaan Quran, suara yang merdu ini disusun dalam bentuk bersistem lagi tersusun dan terkenal dengan nama ilmu maqamat. Ia berkembang dari generasi ke generasi dan mengalami perubahan mengikut keadaan suasana setempat. Sehingga akhirnya maqamat ini dinamakan dengan nama-nama seperti nahawand, rast, hijaz, bayyati, sikah dan jiharkah.

NADA SUARA

Perlu diketahui bahawa nada suara boleh berubah dengan keadaan yang berlaku. Sebagai contoh jika kita menerima khabar gembira sudah tentu ucapan tahniah dengan nada suara gembira dizahirkan. Sebaliknya jika menerima khabar duka maka ucapan takziah dengan nada sedih diucapkan.

Persoalan yang bermain dalam kalangan masyarakat adakah ilmu maqamat ini boleh digunakan untuk membaca Quran? Ulama berselisih pendapat. Ada yang mengharuskan dengan syarat bertajwid dan ada yang tidak membenarkannya kerana berasal dari muzik.

Namun begitu perlu kita mendalami dahulu dua kaedah membaca al-Quran iaitu murattal dan mujawwad. Bacaan murattal adalah yang kemas hukum tajwid dan terdapat beberapa maqamat di dalamnya seperti rakaman bacaan oleh Syeikh Mahmud Khalil Husari, Syeikh Abdullah Basfar, Syeikh Ibrahim Akhdar, Syeikh Ali Huzaifi.

Bagi yang selalu mendengar bacaan Syeikh Bandar Balilah sudah tentu terpegun dengan alunan bacaannya secara murattal. Alunan maqamat yang sesuai dengan makna ayat, tajwid yang kemas dan membaca ayat-ayat dengan perasaan dan tadabbur menghasilkan bacaan yang amat baik dan menusuk kalbu.

Bacaan mujawwad pula seperti bentuk bacaan peserta dalam majlis tilawah. Bacaan ini perlu difahami dengan baik. Dalam konteks negara kita yang telah 60 tahun menganjurkan majlis tilawah, ia telah mewujudkan syarat yang ketat dalam menghakimi bacaan peserta.

Markah 100 dibahagi kepada lima bahagian iaitu tajwid, fasahah, tarannum, suara dan gaya persembahan. Setiap bahagian diadili dua hakim yang mahir. Markah bagi tajwid adalah yang paling tinggi iaitu 35 dan markah untuk tarannum adalah 25. Bermaksud jika peserta mengalunkan maqam sikah, jiharkah dan seumpamanya tanpa meraikan hukum tajwid maka banyak markah yang dikurangkan.

Mengikut Ibn al-Jazari membaca al-Quran dengan bertajwid adalah wajib. Keagungan al-Quran tetap unggul dan tinggi walau apa jenis suara membacanya. Namun, jika membacanya dengan suara yang lebih baik maka kecantikannya akan lebih kelihatan.

Ilmu maqamat pula adalah satu cara untuk menzahirkannya. Namun jika maqamat diutamakan dengan mengetepikan ilmu tajwid maka bacaan tersebut ditolak.

 

FARIDAH MAT SAMAN

 

Syeikh Muhammad Mutawali Sya’rawi r.a yang terkenal dengan cara tafsir al-Quran yang menakjubkan dalam satu temu ramah ditanya tentang siapakah qari Mesir yang menakjubkan. Beliau menjawab qari yang membaca dengan hukum tajwid yang kemas dan sempurna ialah Syeikh Mahmud Khalil al-Husari.

Jika berkaitan maqamat dan canggih dalam sudut perpindahan maqamat kamu dapati pada bacaan Syeikh Mustafa Ismail. Dalam bab suara yang lunak dan merdu ada pada Syeikh Abdul Basit Abdul Samad dan semua perkara yang dinyatakan bacaan hukum tajwid yang tepat, maqamat yang menakjubkan dan suara yang merdu dan lunak terdapat pada Syeikh Rifa’at.

Kesemua qari yang disebut oleh Syeikh Mutawali iaitu Syeikh Khalil Husari, Syeikh Mustafa Ismail, Syeikh Abdul Basit dan Syeikh Rif’at adalah tokoh al-Quran yang terkenal di Mesir dan legenda dalam bacaan al-Quran.

Antara qari dan qariah negara yang bersuara merdu dan menguasai ilmu maqamat ialah Allahyarham Datuk Ismail Hashim dan Datuk Faridah Mat Saman.

Rentak bacaan mereka masih digunakan sehingga kini. Justeru hukum membaca al-Quran secara maqamat yang dinilai dengan hukum tajwid di negara kita adalah harus dan dibolehkan.

Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad, Pensyarah Jabatan
Quran dan Sunnah, USIM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.