Alam ini, tanggungjawab kita - Utusan Malaysia

Alam ini, tanggungjawab kita

Hutan perlu dipulihara demi keseimbangan alam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DR. SARAH ABD RAZAK

Biodiversiti telah dipilih sebagai tema bagi Hari Alam Sekitar Sedunia yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 5 Jun 2020 yang lepas.

Hari Alam Sekitar Sedunia saban tahun diraikan bagi menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat seluruh dunia tentang kepentingan untuk menjaga dan memulihara alam sekitar.

Biodiversiti mencakupi semua spesies tumbuhan dan haiwan di bumi ini serta ekosistem yang melibatkan semuanya membentuk komuniti yang saling berkaitan. Konservasi Antarabangsa mengenal pasti 17 negara- negara yang memiliki kepelbagaian biologi pada 1998 dan sebilangan besar daripada negara-negara tersebut terletak di kawasan iklim tropika atau subtropika.

Malaysia adalah negara bertuah kerana terpilih di antara 17 negara-negara kepelbagaian biodiversiti tersebut. Istilah tersebut merujuk kepada salah satu kumpulan negara yang menyimpan sebahagian besar spesies Bumi dan jumlah spesies endemik yang tinggi.

Klasifikasi ini bertujuan untuk menunjukkan bagaimana sebilangan kecil negara termasuklah Malaysia, memegang sebahagian besar kepelbagaian biologi, sekali gus bertanggungjawab politik dalam pemuliharaan dan pengurusan alam sekitar.

Hutan hujan tropika merupakan gedung kepada khazanah negara yang tidak ternilai dan berharga. Namun, sebahagian besar spesies flora dan fauna ini terancam akibat perubahan iklim serta kesan pemanasan global.

Akhir-akhir ini, keprihatinan dan kesedaran masyarakat seluruh dunia terhadap isu-isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan pemanasan global semakin terserlah.

Sebagai contoh, perkara ini dapat dilihat menerusi peningkatan penglibatan masyarakat seluruh dunia dalam aktiviti penanaman pokok bagi melestarikan alam sekitar.

Aktiviti penanaman pokok secara besar-besaran acap kali dijalankan serta semakin mendapat sambutan di hati masyarakat seluruh dunia. Masyarakat mengambil peluang untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti penanaman pokok yang dianjurkan bagi mendekatkan diri mereka dengan alam sekitar serta menambah ilmu pengetahuan berkaitan alam sekitar.

Perkara ini membuktikan bahawa masyarakat memahami tanggungjawab masing-masing terhadap aspek kelestarian alam sekitar. Senario ini adalah suatu perkembangan positif yang harus dipraktikkan dan diteruskan pada masa akan datang.

 

Selamatkan hutan kita

 

                                        Vertical Garden System yang dibangunkan penyelidik Universiti Malaya

Walaupun penanaman pokok dapat memulihara alam sekitar dalam jangka masa panjang, faktor lain yang harus diketengahkan juga ialah menyelamatkan serta memulihara khazanah hutan daripada kepupusan.

Hakikatnya, penebangan hutan atau deforestasi yang semakin berleluasa di seluruh dunia bukan sahaja menyumbang kepada kehilangan kepelbagaian biodiversiti, tetapi turut memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Contoh-contoh impak negatif kepada alam sekitar ialah seperti meningkatkan intensiti pelepasan gas rumah kaca, kebakaran hutan, kitaran air terganggu dan peningkatan hakisan tanah.

Penebangan hutan secara berleluasa perlu dibendung hingga ke akar umbi bagi mengelakkan berlakunya kemusnahan terhadap ekosistem hutan, yang memerlukan masa berpuluh tahun untuk kembali pulih seperti sediakala.

Mengehadkan pemanasan global dengan cara membanteras penebangan hutan hujan tropika secara berleluasa bagi menyelamatkan khazanah hutan negara adalah di antara langkah signifikan dalam menangani perubahan iklim.

Perkara ini memberi petanda besar sudah tiba waktunya untuk kita mengenengahkan agenda menyelamatkan hutan sedia ada selaras dengan aktiviti penanaman pokok, dalam usaha menangani perubahan iklim.

Selain itu, hutan hujan tropika turut dijadikan lokasi tumpuan oleh pelbagai kajian dan pembangunan penyelidikan (R&D) oleh penyelidik daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam bagi memahami lebih mendalam mengenai khazanah hutan.

Kajian lapangan serta penyelidikan oleh penyelidik dan saintis mengenai sesuatu spesies pokok, haiwan atau hutan hujan tropika itu sendiri juga dapat membantu dalam pemuliharaan hutan hujan tropika serta melestarikan alam sekitar.

Seperti yang sedang dijalankan oleh saya dan rakan-rakan penyelidik, kami sedang menjalankan satu projek penyelidikan bertajuk, GreenStop: Carbon Balanced Ecosystem Initiative in University of Malaya Campus menerusi pembiayaan UM Living Lab Grant Programme.

Projek penyelidikan yang diketuai oleh Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin daripada Fakulti Kejuruteraan, UM dan dianggotai oleh rakan penyelidik daripada Universiti Malaysia Perlis (Unimap) serta saya sendiri daripada Fakulti Sains, UM ini bertujuan untuk memasang Sistem Dinding Hijau Vertikal dengan keupayaan penyerapan karbon di kampus universiti. Ia turut melibatkan analisis penyerapan karbon dengan menggunakan kaedah pemantauan pintar oleh sensor.

Projek penyelidikan ini memberikan kaedah alternatif dan terkini bagi menggantikan aktiviti penanaman pokok bagi penyerapan karbon.

 

INFO
» Hutan meliputi 30 peratus permukaan Bumi dan menyimpan sebahagian besar kepelbagaian biodiversiti.
» Hutan hujan tropika di Malaysia diakui sebagai hutan yang paling produktif di dunia dan dipercayai antara yang tertua di dunia, serta mengandungi pelbagai spesies flora dan fauna yang kaya dan pelbagai.
» Ekosistem hutan yang sihat dan kaya dengan kepelbagaian biodiversiti adalah asas kepada kewujudan manusia.
» Setiap spesies flora dan fauna memainkan peranan penting dalam menentukan keseimbangan dan kesihatan ekosistem hutan.
» Kepupusan kepelbagaian biodiversiti secara tidak langsung dapat meningkatkan penyebaran penyakit berjangkit dan virus.
» Tanpa alam sekitar yang sihat, kelangsungan hidup manusia di muka bumi ini turut pincang.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya