MB Perlis serah kepada polis untuk siasat

MB Perlis serah kepada polis untuk siasat

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah menyerahkan sepenuhnya kepada polis isu beliau menembak lembu sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Bagaimanapun, beliau mempertahankan kewajaran tindakan itu yang dirasakan perlu demi keselamatan petugas dan orang ramai ketika majlis korban tersebut.

Beliau juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis ketika tampil memberi keterangan semalam.

“Daripada segi undang-undang terserah kepada polis. Yang pertama tembakan itu bukan di tempat awam kerana saya telah menyewa kawasan berkenaan. Kedua, saya merasakan tindakan itu wajar demi keselamatan petugas dan orang ramai ketika berdepan lembu mengamuk selain sasaran tembakan itu pula tepat di kaki dengan kawasan di hadapannya pula adalah kosong.

“Selain itu, saya juga mempunyai lesen senjata api. Apa sekali pun, terserah kepada polis,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sebelum itu, Utusan Malaysia melaporkan, Polis merakam kete­rangan Abu Bakar berhubung video tular beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, berdasarkan keterangan Abu Bakar, tindakan tersebut diambil kerana pada ketika program itu, seekor lembu telah mengamuk dan mengancam petugas serta orang awam yang berada di kawasan tersebut.

Katanya, pihak polis turut merampas selaras senapang patah dipercayai digunakan oleh Menteri Besar serta rampasan sembilan butir peluru jenis buekshot untuk siasatan lanjut.

Yusharifuddin juga mengesahkan Menteri Besar adalah pemegang lesen senjata api yang sah bagi senjata api jenis senapang patah.

Sementara itu, Abu Bakar turut menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang bermain politik isu berkenaan.

“Mereka hanya mengambil kira video sekerat itu sahaja tanpa melihat keseluruhan apa sebenarnya yang berlaku ketika lembu mengamuk yang membahayakan orang ramai,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN