fbpx

24 September 2020, 5:29 pm

  TERKINI

UPM hasilkan pakaian khas OKU warga emas

INOVASI baju untuk OKU warga emas dan pelbagai anugerah yang diterima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA 33 juta rakyat Malaysia, kira-kira 10 peratus atau 3.44 juta penduduk Malaysia pada tahun ini dikategori sebagai warga emas. Menjelang 2030, dianggarkan sebanyak 15 peratus penduduk negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas.
Ini bermakna, kerajaan berdepan cabaran mengurus dan memberi kemudahan yang bersesuaian kepada golongan tersebut.
Meskipun kemudahan untuk golongan tersebut sentiasa ditambah baik, masih banyak perkara perlu dilihat bagi meningkatkan mutu kebajikan mereka. Masalah ini masih dihadapi oleh beberapa pihak seperti pusat penjagaan warga emas dan hospital.
Pusat jagaan warga emas sebagai contoh, cuba mengemukakan beberapa cadangan untuk membantu memudahkan penjagaan golongan tersebut.
Daripada permintaan oleh hospital dan pusat jagaan, mereka memerlukan produk yang boleh memudahkan penjagaan warga emas setiap hari.
Untuk tujuan itu, penyelidik daripada Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan satu inovasi pakaian khas untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) warga emas mudah memakainya.
Penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari berkata, inovasi tersebut dihasilkan bagi membantu hospital dan pusat jagaan warga emas mahu pun ahli keluarga mereka sendiri untuk memudahkan pengurusan harian.
“Kesemua fungsi pakaian yang direka dapat memberi kemudahan kepada pesakit lumpuh separuh badan mahupun warga emas yang tidak boleh bergerak,’’ ujarnya yang menjalankan penyelidikan tersebut bersama pembantu penyelidik Juliza Jamian.
Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, inovasi tersebut yang dinamakan Adaptive Wear merupakan pakaian kesihatan yang menfokuskan kepada pesakit warga emas dan OKU.
Kata beliau, inovasi berkenaan mengenengahkan potongan pakaian yang direka khas bagi golongan tersebut memakai pakaian mereka sendiri dengan lebih mudah, selesa dan sopan.
Berkonsepkan Kami Prihatin, keutamaan diberi kepada jenis potongan pakaian yang sesuai dan fungsi pakaian tersebut terhadap kekurangan upaya warga emas.
Dalam setiap potongan pakaian, ia direka bentuk mengikut spesifikasi keperluan pengguna iaitu bahagian yang sukar digerakkan, Pada bahagian ini, bukaan lengan atau bahagian badannya lebih luas bagi memudahkan mereka memakainya.
Justeru, pakaian ini dapat meminimumkan pergerakan penggunanya, dan memudahkan penjaga mereka untuk mengendalikan sekiranya mereka tidak dapat bergerak.

Fungsi produk
Ada dua jenis fungsi produk yang dihasilkan dalam inovasi:
1. Pakaian bagi warga emas yang lumpuh sepenuhnya.
Pakaian tersebut boleh dibuka luas dan dibentangkan di bawah badan pesakit. Ini memudahkan penjaga untuk menyarungkan pakaian kepada pesakit dan meminimumkan pergerakan.
Pakaian ini juga mempunyai ruang bagi penjaga meletakkan portable cold pack supaya pesakit lebih selesa dan tidak melecet pada bahagian badan akibat baring terlalu lama.

2. Pakaian bagi warga emas yang lumpuh separuh badan.
Bagi pakaian ini pula, pesakit sendiri boleh menyarung pakaian tersebut tanpa menggerakkan bahagian yang lumpuh, sekali gus memudahkan penjaga mengendalikannya.
Bahan yang digunakan sesuai digunakan bagi pesakit yang lumpuh separuh badan atau seluruh badan.
Bahan utama yang digunakan adalah kapas, fabrik buluh campuran dan fabrik nanoteknologi. Fabrik ini dapat memberi keselesaan kepada pengguna dan tidak merosakkan kulit pesakit.

Dr. Nazlina Shaari memberi penerangan kepada salah seorang juri mengenai ciptaannya dalam pameran Ekspo Teknologi Malaysia (MTA) 2020.

Ketengah konsep kurung kedah, baju melayu

Inovasi tersebut merupakan produk yang mengetengahkan konsep pakaian tradisional bekonsepkan kurung kedah dan baju melayu.
Apabila menggunakan konsep ini, ia dapat memberi keceriaan kepada pesakit dan membolehkan golongan tersebut kelihatan segar dan sihat. Ini dapat memberi impak positif kepada mereka untuk kekal ceria, bergaya dan sopan.
Fungsi pakaian yang direka adalah berlainan berbanding produk sedia ada dan ia dapat membantu memudahkan penjaga dan pesakit untuk memakainya.
Adaptive Wear mempunyai bahagian yang direka khas untuk pesakit meletakkan beg urin mereka dan terdapat bukaan pada hujung supaya tiub untuk mencuci dapat dibuka tanpa mengeluarkan beg urin berulang kali.
Terdapat juga reka bentuk pakaian yang disediakan ruang untuk cold pack pada bahagian badan pesakit sekiranya mereka memerlukannya.
Produk Adaptive Wear ini memperoleh dana daripada Geran PRGS daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Geran Kajian Validasi Pasaran Inovasi (INNOHUB), Putra Science Park, UPM.

Kelebihan inovasi
» Memberi impak baharu kepada warga emas agar mereka kelihatan lebih sihat, ceria dan selesa dengan menggunakan pakaian yang sesuai dengan keperluan.
» Memudahkan penjaga supaya lebih prihatin terhadap warga emas dan memahami kepentingan kebersihan dan keselesaan dalam kalangan warga emas terutamanya yang orang kurang upaya (OKU).
Produk Adaptive Wear ini memperoleh dana daripada Geran PRGS daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan juga Geran Kajian Validasi Pasaran Inovasi (INNOHUB), Putra Science Park, UPM.

INFO
Pengiktirafan
» Inovasi produk ini telah dipatenkan dan memenangi beberapa anugerah terkemuka peringkat nasional dan antarabangsa.
Antaranya:
» Pingat Emas pada ICCI 2020 Bangkok, Thailand.
» Pingat Emas Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2020.
» Anugerah Khas daripada Persatuan Pereka Cipta dan Inovator British.
» Anugerah Khas daripada Malaysia-Croatia Technology Exchange 2020.

 

BERITA BERKAITAN