Tolong orang sebati dengan jiwa saya - Utusan Malaysia

Tolong orang sebati dengan jiwa saya

Shakina Aris, di Royal Selangor Polo Club
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah menjadi seorang yang berkerjaya, terlibat dalam perniagaan tetapi pada masa sama, gigih membantu mereka yang memerlukan pembelaan.

Kerap turun padang membantu penduduk di kawasannya tanpa mengira masa, sesungguhnya memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Namun bagi Shakina Aris, 40, itu semua bukan penghalang baginya.

Membulatkan tekad selepas meninggalkan pekerjaan tetap dalam sektor kerajaan, beliau pulang ke kampung halamannya di Jitra Kedah, untuk menabur bakti kepada penduduk kampung.

“Kerja-kerja kebajikan sebati dengan jiwa saya, lantas saya memilih untuk berkhidmat menabur bakti. Ia menuntut pengorbanan yang bukan sedikit,” katanya ketika ditemui di Royal Selangor Polo Club, Ampang baru-baru ini.

Selepas membuat keputusan untuk menabur bakti kepada masyarakat, beliau kembali ke kampung halamannya di Jitra, Kedah pada 2018 dan dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Mahsuri, Bahagian Kubang Pasu, Kedah.

Beliau memilih menyertai platform politik sebagai ketua wanita cawangan bagi memudahkan hasratnya bertemu penduduk kampung.

Walau bagaimanapun, Shakina tidak bergantung kepada platform politik bagi mencapai hasratnya itu. Sebaliknya beliau juga menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membolehkanya bertemu kumpulan sasar.

“Saya menyertai Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Cawangan Kubang Pasu, Kedah tahun lalu,” ujarnya yang diberi tanggungjawab berkaitan pencegahan jenayah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Selain itu, beliau turut ditawarkan menyertai Pusat Komuniti orang kurang upaya (OKU) Jitra.

Walaupun belum memberi jawapan kepada jemputan itu, beliau sudah merancang mengadakan program Pusat Komuniti OKU Jitra dengan sebuah lagi NGO iaitu Riding for The Disabled Association (RDA) Malaysia.

Bercerita lebih lanjut, Shakina berkata, suaminya adalah Pengerusi RDA Kuala Lumpur dan Timbalan Presiden RDA Malaysia.

Jadi secara tidak langsung beliau mula menyertai program NGO berkenaan sejak 2013.

Terkini, beliau juga ditawarkan menganggotai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Perniagaan Kubang Pasu, Kedah.

Berdasarkan semua senario tersebut, beliau berkata, kesemua NGO disertai adalah menerusi jemputan daripada pihak mereka.

“Bagi saya (sebelum menerima tawaran), perlu diketahui dahulu apa fungsi dan bagaimana untuk melaksanakanmya. Perlu perhalusi bagaimana kehadiran kita dalam sesuatu organisasi atau institusi itu membawa manfaat kepada semua.

“Bukan sekadar hadir tetapi apakah yang ingin diperjuangkan untuk rakyat, masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.

Meskipun mendapat perhatian kerajaan, beliau tetap turun padang membantu mereka yang memerlukan pembelaan.

“Mereka (NGO) ini tiada dana dan saya bantu mereka berniaga. Dengan adanya usaha sama dengan pihak tertentu kita bantu mencari sumber kewangan,” ujarnya.

 

Berkuda sebagai terapi kanak-kanak OKU

Mengenai RDA, Shakina memberitahu, beliau yang secara tidak langsung terlibat dengan aktiviti berkuda terpanggil untuk membantu golongan sasar mengadakan program rawatan terapi kepada kanak-kanak OKU.

Terapi berkuda tersebut dijalankan menerusi RDA secara percuma kepada golongan berkenaan.

Menurutnya, program seumpamanya yang dianjurkan oleh swasta mungkin dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM300 untuk satu sesi selama dua jam.

Yang menariknya, jurulatih kepada program RDA itu mendapat latihan daripada luar negara dan mereka berfungsi membimbing golongan OKU.

“RDA sebelum ini dijalankan di sebuah pusat berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama dua tahun dan ia baik untuk kesihatan.

“(Sebagai contoh) kanak-kanak yang hiperaktif sebelum terapi kini sudah boleh bercampur dengan orang lain,” ujarnya.

Aktiviti berkuda ini kata Shakina, boleh memperbaiki postur tubuh selain mungkin boleh mengubah minda mereka.

Berikutan kejayaan itu, beliau bercadang membawa program RDA ke Pusat Komuniti Jitra di Kubang Pasu.

Selain program tersebut, pihaknya menganjurkan aktiviti lain termasuklah majlis makan malam bertujuan mengumpul dana dan pernah memperoleh sehingga RM200,000 menerusi satu program pada 2018.

Ketika ditanya sampai bila beliau akan terus berjuang membela masyarakat Shakina memberitahu, pengalaman hidup susah sebelum ini mendorongnya mendekatkan diri dengan program seumpama itu.

“Saya pernah melalui detik susah, berjuang untuk (kelangsungan) hidup, berdikari mencari sumber kewangan sambil belajar,” katanya.

Shakina belajar di Sekolah Menengah Sains Muar sebelum menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang kimia pada 2003.

Beliau bernasib baik mendapat penajaan biasiswa daripada kerajaan semasa menuntut di UMS.

Selepas menamatkan pengajian, beliau mendapat tawaran menjalani latihan praktikal di syarikat Petronas Methanol di Labuan dan ditawarkan pekerjaan tetap.

Shakina bagaimanapun memilih untuk bertugas sebagai pegawai kerajaan di Jabatan Kimia pada 2007.

Selepas beberapa tahun bekerja, beliau memohon ditukarkan ke Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) kerana jiwanya seakan meronta-ronta untuk membela nasib masyarakat tersebut.

Walau bagaimanapun permohonannya ditolak dan beliau kemudiannya menceburi bidang perniagaan dengan mengusahakan ternakan kambing menerusi syarikat Suka Goat Trading di Changlun, Kedah.

Kini, beliau menjalankan perniagaan produk susu kambing dan perkhidmatan pembersihan.

Kesibukan kerjaya bagaimanapun tidak pernah menghakis semangat dan hasratnya membantu mereka yang memerlukan pembelaan, membawanya terlibat dalam pelbagai NGO.

Malah kesibukannya bertambah kerana aktiviti hariannya dipenuhi dengan program ziarah rumah dari rumah sehari suntuk mencari golongan asnaf dan ibu tunggal.

“Bonet kereta saya penuh dengan barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak selain dokumen seperti kertas kerja perniagaan bagi membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Beliau berkata, apa yang penting ialah niat ikhlas tanpa ada kepentingan peribadi semasa menghulurkan bantuan atau memperjuangkan nasib golongan sasar.

Katanya, di kawasan pedalaman, kemudahan asas kadangkala tidak sempurna, tanpa jalan berturap, sampah tidak dikutip dan pembetungan yang tidak diselenggara.

Perjuangan murni tersebut dilakukan dengan ikhlas dan ia menjadi mudah kerana mendapat bantuan dan sokongan pelbagai pihak.

 

info

Shakina  Aris

 *Aktivit Perniagaan:

   -Jawatan: Pengarah Urusan Jajahan Suka Bina (JSB) Sdn.   Bhd.

 

*Aktiviti politik:

   -Bendahari Biro Kebajikan dan Bencana UMNO Bahagian Kubang Pasu, Kedah.

– Ketua Wanita UMNO Cawangan Taman Mahsuri, Bahagian Kubang Pasu, Kedah.

 

*Aktiviti NGO:

Exco Pencegahan Jenayah Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak, Daerah Kubang Pasu Kedah, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya