KL360, sebuah pembangunan bercampur berikonik dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.37 bilion bakal menjadi mercu tanda baharu di pusat bandar raya, Kuala Lumpur menerusi konsep pembangunan yang menggabungkan kediaman, komersial dan gaya hidup dalam satu destinasi.
Pembangunan itu merangkumi 1,026 unit yang terdiri daripada kediaman servis, suite pejabat, ruang runcit dan penthouse eksklusif, sekali gus menyasarkan golongan profesional, keluarga, ekspatriat serta pembeli yang mengutamakan kemudahan dan akses kepada pusat bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Khoon Haur berkata, pembangunan itu terletak hanya beberapa langkah dari Stesen MRT Raja Uda dan mempunyai hubungan terus ke lokasi tumpuan seperti KLCC, Tun Razak Exchange (TRX), Bukit Bintang serta kawasan komersial dan pelancongan utama Kuala Lumpur.
“Mengangkat konsep ‘sky-living’, KL360 menawarkan lebih 40 kemudahan gaya hidup yang dibangunkan di beberapa dek bertingkat dengan keluasan keseluruhan kira-kira 55,000 kaki persegi (5,100 meter persegi).
“Antara tarikan utama pembangunan itu ialah Skydeck 360 darjah yang menghadap panorama bandar raya Kuala Lumpur, Cliff Pool sepanjang 60 meter, Sky Slide berlantai kaca yang pertama di Malaysia, Sky Walk, Sky Escalator, zon kesihatan dan kecergasan, ruang sosial bertema serta pelbagai kemudahan mesra keluarga.
“Bagi melengkapkan ekosistem pembangunan, KL360 turut memperkenalkan konsep runcit dan restoran di aras tinggi menerusi kerjasama dengan Chim Dining (M) Sdn. Bhd. yang menampilkan pengalaman kulinari berinspirasikan Michelin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, KL360 turut dirancang sebagai destinasi gaya hidup yang menggabungkan elemen riadah, kesihatan, hiburan, gastronomi dan interaksi sosial dalam satu pembangunan bersepadu bagi menarik kehadiran penduduk serta pelancong.
“Dari aspek operasi, pembangunan itu dilengkapi sistem akses terkawal, program gaya hidup yang diurus secara profesional, kemudahan runcit bersepadu serta kerjasama hospitaliti premium bagi meningkatkan pengalaman penghuni dan memastikan kemampanan nilai aset dalam jangka panjang.
“Selain itu, KL360 mewakili generasi baharu pembangunan bandar yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemilikan hartanah, malah mengutamakan pengalaman gaya hidup, nilai destinasi serta pengaktifan kawasan bandar,” ujarnya.
Menurut beliau, projek itu turut mencerminkan usaha menghidupkan semula sebuah tapak pembangunan yang sebelum ini terbengkalai untuk ditransformasikan menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur.
“KL360 turut disokong menerusi kerjasama strategik bersama Bank Rakyat bagi kemudahan pembiayaan, China State Construction Engineering (M) Sdn. Bhd. sebagai rakan pembangunan.
“Selain itu, ia turut bekerjasama dengan eLong Hotel Technology Group, Bridgmen Solutions Sdn. Bhd. dan The Chamberlain bagi aspek hospitaliti serta operasi, selain MJHM (MM2H) Sdn. Bhd. bagi fasilitasi program Malaysia My Second Home (MM2H),” jelasnya.
Projek pembangunan KL360 dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan pembinaan dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun 2026 dan siap sepenuhnya pada 2030.
Tambahnya, KL360 dijangka muncul sebagai antara pembangunan ikonik baharu yang memperkukuhkan landskap hartanah dan pelancongan bandar raya ini.
“Dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Kuala Lumpur, akses pengangkutan yang baik serta konsep pembangunan berteraskan pengalaman gaya hidup.
Khoon Haur berkata, KL360 disifatkan sebagai sebuah pembangunan yang unik kerana menitikberatkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui pembinaan Menara GD/KL360 sebagai bangunan hijau.
“Projek itu sebelum ini merupakan projek terbengkalai sebelum diambil alih dan dihidupkan semula.
“Usaha pemulihan itu bukan sahaja mengembalikan pembangunan projek, malah memberi impak sosial yang besar dengan membantu menyelamatkan kira-kira 300 keluarga daripada kesukaran hidup serta membuka semula peluang pekerjaan dan sumber pendapatan,” katanya. -UTUSAN










