Kampung Dodol perlu diwartakan - Utusan Malaysia

Kampung Dodol perlu diwartakan

SALAH sebuah rumah lama di Kampung Dodol, Pulau Pinang yang masih mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional. – UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang meminta Kerajaan Persekutuan mewartakan kawasan Kampung Dodol di Jalan Perak di sini sebagai kampung warisan sekali gus membangunkannya semula dengan mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional.

Presidennya, Abdul Kader Md. Ali berkata, pengiktirafan sebagai salah sebuah perkampungan yang tertua di Pulau Pinang seharusnya diberikan memandangkan masih terdapat ramai pewaris yang mene­tap di kampung berusia 144 tahun itu sehingga ke hari ini.

Menurutnya yang juga penduduk asal Kampung Dodol sejak 61 tahun lalu, terdapat banyak pengkisahan sejarah di perkampungan berkenaan yang dianggarkan meliputi seluas 35 ekar.

“Salah satunya adalah terdapat lima Tanah Perkuburan Islam yang menempatkan pusara pemilik-pemilik asal tanah seperti Hashim Yahaya dan Wan Chik Ariffin serta tiga individu lain yang disemadikan di situ.

“Mengikut rekod, Kampung Dodol adalah antara lebih 20 buah perkampungan yang masih wujud di Pulau Pinang (bahagian pulau) daripada jumlah asalnya sebanyak 152 buah kampung. Oleh itu, kami minta kerajaan Persekutuan mengstrukturkan semula kampung ini dengan mengekalkan identiti perkampungan Melayu tradisional,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, dengan ni­lai sejarahnya yang tersendiri, Kampung Dodol berpotensi diwujudkan sebagai sebuah perkampungan tersusun yang dikenali ramai termasuk pelancong asing.

Abdul Kader memberitahu, perkampungan warisan seharusnya dikekalkan di negeri ini daripada kemusnahan dek pembangunan moden yang jelas memberi kesan kepada ekonomi dan sosial penduduk asal umumnya.

Untuk rekod, terdapat sembilan pemilik asal tanah di kawasan Kampung Dodol dan sebahagiannya telah diwakafkan seperti Tanah Wakaf Wan Chik Ariffin, Tanah Wakaf Hashim Yahaya dan Tanah Wakaf Kapitan Keling.

Dianggarkan lebih 1,300 buah rumah yang dihuni kira-kira 7,800 penduduk ketika ini dengan bentuk kediaman jenis kayu, berbumbung atap dan terdapat seni ukiran pada dinding, tiang serta pintu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya