PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan mempercepat pelaksanaan Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (FHCI) bagi memperkukuh sistem penyampaian kesihatan digital negara.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, menerusi inisiatif itu, Malaysia dijangka menjadi antara negara terawal di dunia melaksanakan sistem penjagaan kesihatan awam primer digital bersepadu sepenuhnya menjelang 2027, berbanding sasaran awal pada tahun 2045.
Katanya, pelaksanaan FHCI sekali gus memanfaatkan pelaburan infrastruktur digital negara melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memperluaskan akses rawatan kesihatan yang lebih pantas, lancar dan saling terhubung di klinik serta hospital kerajaan termasuk di kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan.
“Melalui sistem itu, fasiliti kesihatan dapat mengakses rekod pesakit dengan lebih cekap, mengurangkan kelewatan pentadbiran dan meningkatkan penyelarasan rawatan antara klinik dan hospital.
“Langkah tersebut dijangka memberi pengalaman lebih baik kepada pesakit menerusi tempoh menunggu yang lebih singkat dan kesinambungan rawatan yang lebih lancar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, setakat ini sistem penjagaan kesihatan digital FHCI dilaksanakan di 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan melalui penggunaan Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) dan ekosistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu.
Katanya, pelaksanaan EMR di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mula beroperasi, sekali gus menjadikan kedua-dua kawasan itu sebagai yang pertama mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya di Malaysia.
“Sehingga kini, sebanyak 468 fasiliti penjagaan kesihatan primer telah dilengkapi dengan sistem EMR, peningkatan empat kali ganda dalam tempoh kurang tiga tahun.
“Hasil awal pelaksanaan menunjukkan 81 peratus pesakit kini menerima rawatan dalam tempoh satu jam, selain sistem berkenaan menyokong lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, pihaknya memainkan peranan utama memperluas ketersambungan internet di seluruh negara berlandaskan prinsip ‘di mana ada jalan, di situ ada internet’.
“Hari ini, asas tersebut membolehkan perkhidmatan kesihatan yang lebih terhubung dan cekap untuk rakyat Malaysia. Inisiatif ini memperkukuh asas kepada sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan bagi memenuhi keperluan komuniti di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










