PETALING JAYA: Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat tidak menjejaskan komitmen Nestlé untuk mengekalkan integriti halal dan kestabilan rantaian bekalan, hasil pelaburan jangka panjang dalam kepelbagaian sumber serta pengukuhan ekosistem penyimpanan tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, strategi utama yang telah dibangunkan selama beberapa dekad ialah memastikan kewujudan sumber alternatif dalam operasi penyimpanan dan bekalan.
“Pendekatan ini membolehkan syarikat bertindak balas terhadap gangguan global tanpa menjejaskan standard halal atau kesinambungan bekalan produk.
“Dalam masa sama, Nestlé turut memperkukuh infrastruktur tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kawasan yang lebih tidak stabil.
“Usaha ini selari dengan pengalaman lebih 50 tahun syarikat sebagai perintis dalam pensijilan halal, termasuk kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam forum bersama pihak Nestle dan Jakim sempena Synergy Halal Nestle Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama berterusan dengan Jakim dilihat bukan sebagai pemacu keuntungan jangka pendek, tetapi sebagai elemen penting dalam membina kepercayaan pengguna.
“Di Malaysia, halal adalah asas kepada kredibiliti. Ia memastikan pengguna yakin produk kami memenuhi standard tertinggi,” jelasnya.
Dari segi prestasi kewangan, syarikat mencatat pertumbuhan keuntungan sebanyak 27.1 peratus pada suku tahun terkini.
“Bagaimanapun, fokus kami kekal kepada pembangunan perniagaan jangka panjang berasaskan konsep ‘nilai bersama’ yang memberi manfaat kepada masyarakat dan rakan niaga.
“Bagi menangani risiko luaran seperti konflik dan gangguan bekalan, Nestlé menekankan kepentingan daya tahan operasi melalui peningkatan inventori dan pengaktifan sumber alternatif apabila diperlukan,” katanya.
Selain itu, jualan eksport bagi suku pertama mencecah RM400 juta dengan prospek pertumbuhan yang kekal positif walaupun dijangka lebih sederhana berbanding tahun sebelumnya.
“Malaysia juga terus memainkan peranan strategik dalam operasi global syarikat, termasuk sebagai hab pengeluaran bagi produk inovasi seperti Nescafé Espresso Concentrate.
“Secara keseluruhan, Nestlé kekal optimistik terhadap prospek perniagaan di Malaysia, disokong oleh daya tahan rantaian bekalan, kepercayaan pengguna terhadap pensijilan halal, serta pelaburan berterusan dalam inovasi dan eksport,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem halal masa depan, syarikat turut memperkenalkan inisiatif Halal@STEM yang menggabungkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam pembangunan inovasi halal.
Menurut Juan, program berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara industri makanan halal beroperasi, termasuk faktor yang mempengaruhi pilihan pengguna serta kepentingan inovasi dalam memastikan produk yang dihasilkan memenuhi standard halal dan selamat.
“Halal@STEM adalah untuk memberikan pengetahuan tentang halal dan bagaimana sains, teknologi dan matematik menyokong ekosistem halal seba itu kita ada program untuk pelajar bagi memahami bagaimana faktor pemilihan makanan boleh dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya.
Selain program pendidikan, Nestlé turut menganjurkan ekspo halal yang menjadi platform kepada pelajar mempamerkan inovasi berkaitan halal.
“Melalui pameran itu, pelajar berpeluang menghasilkan pelbagai projek inovatif yang menggabungkan prinsip kelestarian dan pematuhan halal.
“Antara projek yang diketengahkan termasuk usaha menghasilkan plastik menggunakan bahan berasaskan jeli, yang dilihat sebagai alternatif lebih lestari serta selari dengan prinsip halal dan mesra alam,” katanya. – UTUSAN










