Keluarga Beng Hock mohon kes disiasat bawah membunuh

Keluarga Beng Hock mohon kes disiasat bawah membunuh

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Teoh Beng Hock memfailkan permohonan semakan kehakiman agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kematian mendiang 17 tahun lalu di bawah kesalahan membunuh.

Ia difailkan oleh abang mendiang, Teoh Meng Kee dan ibu bapa mereka, Teoh Leong Hwee dan Teng Shuw Hoi pada 17 April lalu melalui firma guaman Tetuan Lim Wei Jiet.

Ketika kejadian, Beng Hock merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah.

Mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, PDRM, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga kelima.

Permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu akan didengar pada 18 Mei ini.

Menurut afidavit sokongan oleh Meng Kee, responden-responden didakwa telah gagal memberikan alasan dan penjelasan mengapa tiada siasatan terhadap kematian Beng Hock di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Katanya, kematian mendiang merupakan isu yang berlarutan sekian lama dan melibatkan kepentingan awam, namun sehingga hari ini tiada mana-mana individu atau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa, walaupun terdapat keputusan Mahkamah Rayuan mengenainya.

“Sekiranya permohonan semakan kehakiman ini tidak dapat didengar, ia akan mengakibatkan ketidakupayaan keluarga untuk meneruskan keadilan berhubung kematian mendiang,” katanya dalam afidavit itu.

Kesemua pemohon memohon deklarasi bahawa responden-responden mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memulakan siasatan berhubung kematian mendiang pada 16 Julai 2009 di bawah kesalahan jenayah membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau mematikan orang dengan salah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden-responden melengkapkan siasatan tersebut dalam tempoh 120 hari dari tarikh perintah.

Pada 21 November 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2025, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menulis surat kepada bekas peguam cara keluarga mendiang memaklumkan, siasatan telah dijalankan di bawah kesalahan pengurungan salah di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA).

Beng Hock ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM di tingkat 14 premis berkenaan.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner, Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati, tiada pihak ketiga dalam kematiannya manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN