Chegubard buat fitnah besar - Loke

Chegubard buat fitnah besar – Loke

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan tuduhan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard adalah berunsur fitnah apabila mengaitkannya dengan usaha mengganggu institusi Undang di Negeri Sembilan.

Tegasnya, dakwaan itu adalah satu cubaan jahat untuk mencemarkan reputasinya.

“Berkenaan laporan polis yang dibuat oleh Setiausaha Politik saya semalam, itu adalah berkenaan fitnah yang dibuat oleh Chegubard.

“Dia cuba mengaitkan saya mengatakan saya memberikan dana kepada pihak-pihak yang cuba membuat kacau ataupun mengeruhkan keadaan institusi Undang di Negeri Sembilan. Itu satu fitnah besar,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pas Bulanan MyPutrajaya dan MyKLIA di Stesen KLIA Ekspres & KLIA Transit KLIA T2 di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Politik kepada Loke membuat laporan polis terhadap Chegubard kerana membuat hantaran media sosial yang didakwa berunsur fitnah terhadap pemimpin itu berkaitan institusi Undang.

Laporan itu dibuat oleh Ho Weng Wah di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban susulan hantaran di Facebook Chegubard yang bertajuk ‘Anthony Loke perlu disiasat atas membiayai entiti haram-Majlis Dato Lembaga Adat Sungei Ujong’.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan menjelaskan bahawa memang pernah wujud permohonan peruntukan beberapa tahun lalu daripada individu yang mendakwa mewakili Balai Undang Sungei Ujong.

Namun katanya, semakan lanjut mendapati individu berkenaan tidak mendapat kebenaran menggunakan kepala surat Balai Undang berkenaan.

“Laporan polis telah pun dibuat pada ketika itu bahawa peruntukan itu dimohon oleh seseorang yang tidak mewakili Balai Undang. Peruntukan sekali sahaja, berjumlah RM10,000 untuk satu pertandingan golf. Selepas itu memang tak ada bagi lagi (peruntukan).

“Dia nak mengaitkan saya mengatakan saya memberikan ratusan ribu kepada pihak yang cuba membuat kacau terhadap institusi Undang, jadi itu satu tohmahan dan fitnah yang jahat. Dia nak salahkan DAP, semua cuba nak salahkan DAP termasuk krisis yang berlaku di Negeri Sembilan,” katanya.

Loke turut menyifatkan individu terbabit sebagai seorang yang tidak mempunyai kredibiliti kerana sering membuat kenyataan tanpa fakta.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menegaskan bahawa DAP kekal menyokong kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun dan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menukar Menteri Besar negeri itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN