Ringgit mengukuh didorong pengumuman program BUDI95 - Utusan Malaysia

Ringgit mengukuh didorong pengumuman program BUDI95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit berpotensi terus mengukuh dalam tempoh sederhana berikutan gabungan faktor global dan domestik, termasuk jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) serta pelaksanaan strategi rasionalisasi subsidi RON95 oleh kerajaan menerusi program BUDI95.

Pada pukul 9 pagi semalam, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.1980/2030 berbanding penutup Isnin 4.2040/2080, sebelum mengakhiri dagangan lebih kukuh pada 4.1960/2000.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata,
pengukuhan ringgit baru-baru ini bukan sahaja dipacu oleh jangkaan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan AS, malah turut disokong oleh langkah berani kerajaan Malaysia dalam memperkukuh kedudukan fiskalnya melalui rasionalisasi subsidi RON95.

“Pengumuman mengenai BUDI95 dilihat dari perspektif dasar fiskal yang positif. Apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95, ini menunjukkan komitmen terhadap disiplin fiskal yang mampan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, langkah awal kerajaan untuk mengecualikan warga asing dan syarikat besar daripada subsidi RON95, serta menyalurkan bantuan secara bersasar melalui penggunaan MyKad sebagai alat dasar merupakan satu pendekatan strategik yang berperingkat dan berimpak tinggi.

“Strategi ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban subsidi yang tidak menyeluruh, malah menyediakan asas untuk pelaksanaan subsidi mengikut pendapatan rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, penggunaan MyKad sebagai mekanisme penyasaran subsidi dianggap sebagai langkah penting ke arah keberkesanan dasar sosial dan fiskal.

“Sekiranya ia diterima baik dan diguna pakai secara meluas oleh rakyat, kerajaan dilihat berupaya melaksanakan penstrukturan subsidi secara lebih menyeluruh dan adil.

“Dalam konteks mata wang, kedudukan fiskal yang lebih baik akan meningkatkan keyakinan pelabur dan penarafan kredit negara, sekali gus menyokong nilai ringgit,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu juga membolehkan S&P Global Ratings memberikan penilaian positif terhadap kedudukan kewangan kerajaan Malaysia.

“Apabila agensi penarafan seperti S&P, Moody’s atau Fitch melihat usaha kerajaan dalam menstrukturkan subsidi dan mengurangkan ketirisan fiskal, ini akan memperkukuh lagi sentimen pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

“Kestabilan fiskal yang dicapai melalui langkah seperti BUDI95 akan memberi kesan positif terhadap persepsi pasaran terhadap ringgit, terutamanya apabila digabungkan dengan faktor luaran seperti pelonggaran dasar monetari global,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, ringgit mencatatkan sedikit pengukuhan berbanding dolar AS, dipacu oleh keyakinan awal terhadap pelaksanaan subsidi bersasar menerusi inisiatif BUDI95.

“Namun begitu, kekuatan ringgit dalam tempoh mendatang masih bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan program tersebut.

“Ringgit naik sedikit buat masa ini, tetapi saya bimbang ia mungkin menyusut semula jika terdapat masalah dalam pelaksanaan BUDI95. Sebaliknya, jika pelaksanaannya berjalan lancar dan telus, ia akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap dasar fiskal negara, dan menyokong pengukuhan ringgit,” katanya.

Profesor Madya Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, ringgit mengukuh kepada paras sekitar RM4.20 berbanding dolar AS, didorong oleh gambaran dan persepsi positif pasaran terhadap komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi fiskal yang lebih mampan.

Katanya, pengukuhan tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap langkah rasionalisasi subsidi bersifat pukal termasuk diesel sebelum ini dan kini RON95 yang dijangka dapat mengurangkan beban fiskal negara dalam jangka masa panjang.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan ketirisan subsidi, malah memberi isyarat jelas kepada pasaran bahawa kerajaan serius dalam memastikan pengurusan fiskal yang berhemah, satu faktor penting yang sering diperhatikan oleh agensi penarafan kredit dan pelabur institusi,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan di bawah program BUDI95.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN