70% pengusaha kantin nyawa-nyawa ikan - Utusan Malaysia

70% pengusaha kantin nyawa-nyawa ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kira-kira 70 peratus atau 7,140 daripada 10,200 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara mendakwa mereka dalam keadaan nyawa-nyawa ikan berikutan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah dan masalah harga barangan mentah terus melambung.

Daripada jumlah tersebut, 300 daripada mereka sedang berkira-kira untuk terus menarik diri daripada meneruskan perniagaan tanpa menghiraukan deposit hangus.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, ketika kerajaan mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan, peniaga kantin ini baru mahu bernafas sedikit demi sedikit tetapi malangnya kenaikan semua barang mentah yang diibaratkan `menggila’ kini sedang membunuh perniagaan mereka.

Siti Normah Md. Desa

“Pengusaha kantin sekolah tidak memperoleh hasil ketika sekolah ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Tetapi bila sektor ekonomi itu dibenar buka semula, harga barangan pula meningkat,” kata beliau semasa dihubungi baru-baru ini.

Menurut beliau, masalah bekalan stok minyak masak paket yang tidak konsisten kadang-kadang ada dan kadang-kadang tidak ada turut menyumbang kepada kos perniagaan mereka meningkat.

“Ia diikuti harga ayam yang naik sedikit demi sedikit. Kemudian harga telur pula dan terbaru sayur-sayuran serta harga ikan. Kebanyakan barang yang naik harga ini adalah barang asas yang digunakan di kantin sekolah,” katanya yang mengeluh.

Kata Siti Normah, pengusaha kantin tidak seperti peniaga di luar kerana mereka boleh menaikkan harga makanan mengikut harga barang mentah.

“Pengusaha kantin tidak boleh menaikkan harga makanan yang dijual sesuka hati kerana mereka perlu mengikut sebut harga pada tender yang dipersetujui sebelum ini,” kata beliau.

Tegas beliau, kerajaan juga perlu tahu, perniagaan harian di kantin kini hanya untuk separuh daripada murid sekolah susulan sistem penggiliran bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Murid yang tinggal separuh ini pula bukan semua membeli makanan di kantin kerana mereka membawa bekalan makanan sendiri mengikut norma baharu,” katanya.

Menyedihkan lagi, Siti Normah memberitahu, usaha pihak kantin berbincang dengan pihak sekolah dan ibu bapa agar harga makanan dinaikkan juga tidak berhasil.

“Ketika ini sudah ada pengusaha kantin yang mahu menarik diri serta-merta daripada perniagaan ini.

“Mereka sanggup leburkan wang deposit daripada terpaksa menanggung kerugian yang berterusan. Boleh saya katakan kira-kira 300 orang pengusaha telah memaklumkan kepada persatuan yang menyatakan hasrat mereka untuk menarik diri.

“Statistik yang kami ada juga mendapati 70 peratus daripada 10,200 orang pengusaha kantin sekolah kini berisiko gulung tikar.

“Kami tahu keadaan pengusaha-pengusaha kantin di seluruh negara dan setiap hari ada sahaja yang memaklumkan mereka tidak mahu lagi meneruskan perniagaan kantin sekolah sebaik sahaja cuti akhir tahun persekolahan bermula 10 Disember depan,” katanya.

Siti Normah menambah, pembayaran semula sewa kantin bermula Januari tahun hadapan selepas moratorium tamat, dijangka menambah lagi beban buat pengusaha-pengusaha kantin sekolah.

“Saya harap pihak berwajib terutamanya Kementerian Pendidikan melihat kepada isu yang dihadapi oleh pihak pengusaha kantin sekolah. Pihak kantin juga memberikan sumbangan sangat besar dalam sistem pendidikan persekolahan.

“Memang ada pengusaha kantin untuk ganti apabila peniaga lama menarik diri namun situasi sebenar, ia bukan mudah. Ada pejabat pendidikan daerah, guru besar dan pengetua sekolah yang berjumpa kami meminta bantuan supaya mencarikan pengusaha kantin yang sanggup mengendalikan kantin buat sementara sebelum mereka menemui pengusaha yang baharu,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN