PETALING JAYA: Belanjawan 2027 berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi negara menerusi pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pendigitalan, ekonomi halal serta pelaburan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, tumpuan berterusan terhadap sektor strategik itu menyediakan asas bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan ekonomi dan mewujudkan nilai mampan untuk jangka panjang.
Menurut bank itu, fasa pembangunan ekonomi seterusnya bukan sahaja bergantung kepada akses pembiayaan, malah keupayaan menggembleng sumber, inovasi dan bakat secara berkesan bagi meningkatkan daya saing serta merangsang aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks dan saling berkait, pelaksanaan dasar secara berkesan menjadi faktor penting bagi memastikan aspirasi kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang nyata.
“ Sektor kewangan memainkan peranan penting dalam menyalurkan dana kepada aktiviti yang menyokong pembangunan negara dan kemajuan ekonomi.
“Di Bank Islam, kami melihat peranan kami sebagai pemudah cara yang membantu perniagaan berinovasi, berkembang dan membina daya tahan jangka panjang, di samping memastikan peluang ekonomi kekal mudah diakses dan bersifat inklusif,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pihaknya menyokong keutamaan kerajaan melalui usaha memperkasa pertumbuhan perniagaan, memperluas keterangkuman kewangan dan memudah cara pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu.
“Komitmen itu merangkumi penyediaan penyelesaian pembiayaan, perdagangan dan rantaian bekalan serta khidmat nasihat kepada PMKS, perniagaan halal dan usahawan bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing mereka,” katanya.
Pada masa sama, bank itu akan terus menyokong pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur hijau dan projek berkaitan peralihan tenaga menerusi pembiayaan patuh Syariah, penyelesaian kewangan mampan dan penawaran sukuk.
Bagi isi rumah, tumpuan diberikan kepada pengukuhan kesejahteraan kewangan melalui pembiayaan bertanggungjawab, penyelesaian simpanan dan pengurusan kekayaan.
Penyelesaian seperti Ar-Rahnu turut memainkan peranan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat merebut peluang ekonomi.
Menurut beliau, penekanan kerajaan terhadap pengukuhan ekosistem kewangan Islam juga bertepatan dengan keperluan semasa, memandangkan sektor itu bukan sahaja menyediakan perkhidmatan perbankan dan pembiayaan, malah menawarkan pendekatan berasaskan nilai yang menggalakkan keterangkuman, kemampanan dan penyertaan ekonomi secara bertanggungjawab.
Menerusi cabang kewangan sosialnya, Sadaqa House, serta Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD, bank itu menggabungkan pembiayaan, latihan dan bimbingan bagi membantu usahawan yang kurang mendapat akses perbankan serta usahawan asnaf membina sumber pendapatan mampan.
Usaha itu bertujuan membantu golongan berkenaan meningkatkan keupayaan perniagaan dan mencapai tahap kebebasan kewangan yang lebih baik.
Dalam pada itu, Teh Maimunah berkata, Belanjawan 2027 turut membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antara keutamaan pembangunan negara, penyertaan sektor swasta dan pencapaian hasil sosial yang positif.
“Kewangan berasaskan nilai berupaya memainkan peranan penting dalam menyokong fasa pembangunan Malaysia yang seterusnya dengan menyalurkan sumber kepada aktiviti ekonomi yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi,” katanya. – UTUSAN











