Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia kepada 5.1 peratus tahun ini - Utusan Malaysia

Bank Dunia naikkan unjuran KDNK Malaysia kepada 5.1 peratus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1 peratus tahun ini, lebih tinggi daripada unjuran sebelum ini sebanyak 4.4 peratus, disokong lonjakan eksport dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata, kenaikan sebanyak 0.7 mata peratusan untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini juga lebih tinggi berbanding unjuran pertumbuhan serantau sebanyak 4.5 peratus.

“Bagaimanapun, kebergantungan terhadap permintaan luaran menimbulkan risiko sekiranya ledakan AI global mula mengalami kelembapan.

“Pertumbuhan itu menunjukkan ekonomi Malaysia berjaya mengatasi jangkaan walaupun berdepan keadaan luaran yang mencabar dengan permintaan luar memainkan peranan utama, manakala permintaan domestik hanya memberikan sokongan.

“Permintaan luaran juga memainkan peranan utama dalam pertumbuhan Malaysia pada 2026, manakala permintaan domestik hanya memainkan peranan sokongan.

“Oleh itu, pertumbuhan ini sebahagian besarnya didorong pelaburan dan eksport berkaitan AI, selain eksport komoditi, khususnya minyak dan gas asli cecair (LNG),” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media bagi Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia dan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, lebih 70 peratus pertumbuhan eksport barangan negara pada awal tahun ini didorong peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan teknologi berkenaan.

“Ia sekali gus menjadikan Malaysia kini antara negara yang paling mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan global terhadap produk berkaitan AI.

“Pelaburan dalam pusat data dan infrastruktur data turut berkembang pesat, malah pelaburan baharu (greenfield) dalam sektor berkenaan hampir menyumbang separuh daripada keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI) greenfield yang diumumkan di Malaysia pada 2023 hingga 2024.

“Malaysia juga menerajui kapasiti pusat data di rantau Asia dan mencatat pertumbuhan eksport dipacu AI yang paling kukuh di rantau ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inflasi Malaysia kekal sederhana dengan Bank Dunia mengunjurkan kadar inflasi meningkat secara sederhana kepada sekitar 2.0 peratus tahun ini, walaupun tekanan harga tenaga meningkat.

Menurutnya, subsidi turut membantu mengehadkan kesan kenaikan harga kepada pengguna dengan isi rumah berpendapatan rendah, khususnya yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, mencatat inflasi purata hanya sekitar 1.2 peratus pada separuh pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, tekanan kos di peringkat pengeluar semakin meningkat apabila indeks harga pengeluar (IHPR) meningkat daripada paras negatif kepada sekitar 10.7 peratus pada Ogos, yang berpotensi memberi tekanan kepada inflasi pengguna pada masa akan datang.

“Keadaan ini juga menjadi ujian terhadap ruang fiskal Malaysia yang masih terhad dengan hutang Kerajaan Persekutuan melebihi 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), manakala kos khidmat hutang semakin meningkat.

“Malaysia mempunyai risiko jangka pendek yang rendah dari segi pembiayaan kerana pasaran bon domestik yang kukuh, kecairan yang tinggi dan asas pelabur institusi yang mendalam.

“Namun, masih ada keperluan untuk mewujudkan ruang fiskal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN