SunCon boleh raih kontrak RM1 bilion di Bukit Chagar

SunCon boleh raih kontrak RM1 bilion di Bukit Chagar

MAYBANK IB mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham SunCon dengan TP RM9.62 sesaham.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Construction Group Bhd. (SunCon) berpotensi memperoleh kontrak podium dan menara bernilai kira-kira RM1 bilion bagi pembangunan bersepadu bercampur di Bukit Chagar, Johor Bahru, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

Bank pelaburan berkata, anugerah projek tersebut berkait dengan pembangunan usaha sama antara syarikat induknya, Sunway Bhd. dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

Katanya, sekiranya berjaya diperoleh, kontrak berkenaan berpotensi menyumbang kira-kira RM60 juta kepada keuntungan bersih keseluruhan kumpulan.

“Prospek ini mengukuhkan lagi kedudukan SunCon susulan kontrak RM1.5 bilion yang diperoleh tahun lalu bagi kerja pembinaan pembangunan berorientasikan transit (TOD) Sistem Transit Pantas (RTS) di lokasi sama menerusi urus niaga pihak berkaitan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Maybank IB, tiga projek utama yang membentuk hab pembangunan di sekitar stesen Bukit Chagar mencatatkan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan mencecah RM11.1 bilion.

Ia merangkumi projek Coronation Square bernilai RM5 bilion, Causewayz Square (RM3.5 bilion) dan pembangunan ber­sepadu Sunway-MRT Corp (RM2.6 bilion).

Operasi komersial RTS Link yang dijadualkan bermula pada akhir 2026 atau awal 2027 dijangka menjadi pemangkin utama kepada permintaan hartanah serta merancakkan aktiviti pembinaan di kawasan tersebut.

Sementara itu, pembangunan bersepadu Sunway-MRT Corp akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun, dengan komponen utamanya disasarkan siap antara 2033 hingga 2036.

Dalam pada itu, projek Causewayz Square terbitan EXSIM Group turut memberi limpahan manfaat kepada Binastra Corporation Bhd. apabila syarikat itu memperoleh kontrak bernilai RM1.3 bilion, bersamaan 20 peratus daripada buku tempahannya.

Kontrak pembinaan utama bernilai RM1.2 bilion daripada jumlah itu dijangka menyumbang RM90 juta kepada keuntungan bersih kumpulan, dengan sasaran siap sepenuhnya pada Disember 2030.

“Kawasan tersebut turut disokong cadangan rangkaian transit bertingkat sepanjang 50 kilometer merangkumi 32 stesen merentasi koridor Skudai, Tebrau dan Iskandar Puteri yang bertumpu di stesen Bukit Chagar,” katanya.

Rangkaian itu bertindak sebagai penghubung jarak akhir yang berupaya mengagihkan sehingga 10,000 penumpang rentas sempadan sejam ke sekitar Johor Bahru.

“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham SunCon dengan harga sasaran (TP) RM9.62 sesaham,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×