Sektor tenaga, teknologi, perbankan terus jadi perhatian pelabur

Sektor tenaga, teknologi, perbankan terus jadi perhatian pelabur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor tenaga dijangka terus mendapat perhatian pelabur dalam persekitaran harga komoditi yang tinggi serta ketegangan geopolitik yang masih berlarutan, namun prestasi syarikat dalam sektor berkenaan perlu dinilai berdasarkan segmen perniagaan masing-masing.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Taylor’s University, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, bagi syarikat penapisan minyak, prestasi tidak semestinya bergerak seiring dengan kenaikan harga minyak mentah kerana ia lebih dipengaruhi margin penapisan, kecekapan operasi, campuran produk serta keupayaan mengawal kos.

“Contohnya, Hengyuan Refining Bhd. mencatatkan keuntungan bersih RM1.13 bilion bagi separuh pertama 2026, prestasi separuh pertama terbaik syarikat itu dalam tempoh 10 tahun.

“Bagaimanapun, prestasi kukuh berkenaan perlu dilihat dalam konteks keadaan pasaran semasa kerana kemampanan keuntungan syarikat penapisan minyak banyak bergantung kepada margin penapisan dan dinamik pasaran minyak global,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Sementara itu,ujar Paul, sektor teknologi mempunyai prospek pertumbuhan jangka panjang susulan perkembangan pendigitalan dan permintaan terhadap teknologi, namun pelabur perlu lebih selektif memandangkan prestasi syarikat dalam sektor tersebut tidak seragam.

“Inari Amertron Bhd, sebagai contoh, mempunyai operasi serta skala perniagaan yang besar, namun keputusan terkininya menunjukkan tekanan terhadap keuntungan susulan volum perniagaan yang lebih rendah selain kesan kebakaran di fasilitinya di Filipina,” katanya.

Dalam keadaan pasaran yang lebih berhati-hati, pelabur juga perlu memberi perhatian kepada kekuatan asas sesebuah syarikat dan bukannya bergantung semata-mata kepada momentum harga saham.

“Syarikat yang mempunyai asas perniagaan lemah, tahap keberhutangan tinggi, aliran tunai tidak stabil atau kenaikan harga saham yang terlalu bergantung kepada sentimen pasaran antara yang paling terdedah apabila pelabur mula mengambil pendekatan menghindari risiko.

“Justeru, pemilihan saham ketika pasaran berdepan ketidaktentuan memerlukan penelitian terhadap prestasi kewangan, prospek keuntungan, kedudukan hutang serta keupayaan syarikat menjana aliran tunai secara konsisten,” katanya.

Menurut Paul, aktiviti dagangan yang disokong oleh pertumbuhan keuntungan, kontrak baharu, peningkatan margin atau prospek industri yang semakin baik berkemungkinan mempunyai asas yang lebih kukuh.

“Namun, jika kenaikan itu hanya didorong oleh peningkatan volum dagangan, perbincangan di media sosial dan kenaikan harga secara mendadak, risiko spekulasi adalah lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, sektor perbankan dan teknologi dilihat antara sektor yang berpotensi mendapat manfaat dalam persekitaran pasaran semasa, manakala sektor minyak dan perkhidmatan pula berdepan risiko lebih tinggi susulan ketidaktentuan pasaran serta perubahan sentimen pelabur.

Katanya, saham yang mempunyai asas fundamental kukuh masih menjadi tonggak utama pasaran saham tempatan dan dijangka kembali mendapat perhatian pelabur apabila sentimen terhadap saham spekulatif mula reda.

“Saham yang mencatatkan aktiviti dagangan tinggi semata-mata disebabkan faktor sentimen dan spekulasi mungkin berdepan kesukaran untuk mengekalkan momentum dalam tempoh lebih panjang.

“Saham fundamental masih menjadi tulang belakang Bursa kita. Saham spekulatif akan kurang ‘glamour’ pada minggu depan kerana pelabur runcit akhirnya akan beralih kepada saham fundamental,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan pelabur semakin cenderung menilai kekuatan asas sesebuah syarikat, termasuk keupayaan menjana keuntungan, aliran tunai dan prospek pertumbuhan perniagaan, berbanding hanya mengejar kenaikan harga saham dalam tempoh singkat.

Dalam masa sama, sektor perbankan dijangka kekal mendapat perhatian berikutan kedudukan fundamental yang lebih kukuh, manakala sektor teknologi pula mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang sejajar dengan perkembangan digitalisasi dan permintaan terhadap penyelesaian teknologi.

Sebaliknya, saham berkaitan minyak dan perkhidmatan perlu dinilai dengan lebih berhati-hati memandangkan prestasinya boleh dipengaruhi turun naik harga komoditi, kos operasi serta perubahan permintaan pasaran.

“Justeru, pelabur disaran membezakan antara saham yang aktif kerana mempunyai pemangkin fundamental dengan saham yang sekadar menjadi tumpuan sementara akibat spekulasi.

“Pemilihan saham berdasarkan asas perniagaan yang kukuh dilihat lebih penting bagi memastikan momentum kenaikan dapat bertahan dan tidak mudah terjejas apabila sentimen pasaran berubah,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×