Raia Parkscape Run 2026 sasar 2,000 peserta di Putrajaya

Raia Parkscape Run 2026 sasar 2,000 peserta di Putrajaya

ANTARA peserta Raia Balloon Run 2025 yang menyertai larian di Dataran DBKL Kuala Lumpur, tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UJ Hotels & Resorts Management Services Sdn. Bhd., syarikat pengurusan Raia Hotels, menyasarkan penyertaan sehingga 2,000 pelari menerusi Raia Parkscape Run 2026 yang bakal berlangsung di Taman Botani Putrajaya pada 10 Oktober ini.

Acara larian tahunan itu kembali selepas penganjuran sulung Raia Balloon Run pada 2025 yang menarik seramai 932 peserta di Kuala Lumpur.

Diadakan bersempena aktiviti Putrajaya Parks Day 2026, Raia Parkscape Run 2026 bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, selain menghimpunkan pelari, keluarga dan komuniti tempatan dalam aktiviti riadah luar.

Tahun ini, acara berkenaan menawarkan dua kategori iaitu 4KM Fun Run dengan yuran penyertaan RM45 dan 7KM Challenge Run pada RM55.

Setiap peserta berdaftar akan menerima jersi rasmi acara, pingat penamat, nombor bib, minuman serta baucar Raia.

Ketua Pegawai Eksekutif UJ Hotels & Resorts Management Services, Muhammad Solleh Ramli berkata, penganjuran itu bukan sekadar acara larian, sebaliknya menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan mengeratkan hubungan dengan komuniti.

“Acara ini turut memberi peluang kepada kami untuk menghimpunkan masyarakat, menggalakkan gaya hidup aktif dan memperkenalkan Raia Hotels kepada komuniti yang lebih luas dengan cara yang lebih bermakna.

“Selepas sambutan menggalakkan terhadap larian pertama tahun lalu, kami tidak sabar untuk mengalu-alukan lebih ramai peserta ke Putrajaya pada Oktober ini,” katanya dalam kenyataan.

Acara tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti sepanjang pagi termasuk sesi pemanasan badan, upacara pelepasan, reruai aktivasi, aktiviti mesra keluarga dan sesi bergambar.

Menariknya, peserta berpeluang memenangi 47 hadiah menerusi cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai pengalaman penginapan dan percutian.

Hadiah berkenaan termasuk pengalaman penginapan di hotel terpilih Raia, penerbangan dan penginapan untuk dua orang di Raia Kuching atau Raia Hotel Kota Kinabalu, percutian keluarga di Raia Inn Penang serta penginapan di Raia Beach Resort Port Dickson.

Turut ditawarkan ialah peranti elektronik, baucar beli-belah, vest larian Raia dan baucar makanan Raia.

Penganjuran Raia Parkscape Run 2026 merupakan sebahagian daripada usaha Raia Hotels mewujudkan pengalaman komuniti di luar perkhidmatan hospitaliti tradisional.

Inisiatif itu juga menyokong kedudukan jenama berkenaan sebagai “Hotel For All” dengan menyediakan acara yang inklusif dan boleh disertai oleh masyarakat daripada pelbagai peringkat umur serta tahap kecergasan.

Dengan sasaran antara 1,500 hingga 2,000 peserta, acara itu dijangka bukan sahaja merancakkan aktiviti rekreasi di Putrajaya, malah memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman percutian dan penginapan yang ditawarkan Raia Hotels.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×